Isnin, 6 Januari 2014

CADANGAN UNTUK MENINGKATKAN USAHA YANG BOLEH DILAKUKAN BAGI MEMBENTUK PERKEMBANGAN YANG SIHAT DI KALANGAN ANAK-ANAK .



Pengenalan

Anak-anak merupakan harta yang berharga bagi sesebuah negara. Ini kerana, anak-anak inilah yang bakal meneruskan perjuangan generasi pada masa kini. Pada suatu hari kelak, mereka ini mungkin sahaja menjadi pemimpin, ahli ekonomi , ahli sukan dan sebagainya yang mampu memberi sumbangan kepada negara. Oleh itu, anak-anak sepatutnya dijaga, diasuh dan dibentuk sejak awal lagi agar mereka menjadi orang yang berguna kelak.

Selain itu, anak merupakan anugerah Tuhan kepada umat manusia. Perkembangan anak-anak amat bergantung kepada ibu bapa dan persekitarannya. Sekiranya, ibu bapa mampu memberikan keperluan yang sepatutnya kepada mereka seperti kasih sayang dan perhatian yang baik, mereka akan membesar menjadi orang yang baik. Namun, perlu diingatkan juga bahawa faktor persekitaran turut mempengaruhi perkembangan anak-anak. Oleh yang demikian, ibubapa dan anggota masyarakat yang lain mestilah menyediakan persekitaran yang baik dan positif untuk mereka agar dapat menjamin perkembangan anak-anak yang cemerlang baik dalam pencapaian akademik mahupun sahsiah.

Usaha-usaha untuk membentuk perkembangan yang sihat di kalangan anak-anak bukan hanya di bahu para ibu bapa, tetapi setiap ahli anggota masyarakat tidak kira yang muda-mudi remaja atau dewasa dan warga tua turut menyumbang kepada perkembangan anak-anak. Dalam perkara ini, kerjasama, keprihatinan dan sikap tolong-menolong haruslah ditonjolkan oleh setiap anggota masyarakat. Nilai-nilai seperti ini akan mampu membantu pembentukan anak-anak. Sebagai contoh, sikap hormat-menghormati jiran dan tolong-menolong akan mengajar anak-anak tentang nilai-nilai hidup bermasyarakat.


Cadangan Untuk Meningkatkan Usaha Bagi Membentuk Perkembangan Yang Sihat Di Kalangan Anak-Anak .


1   Ibu bapa

Golongan ibu bapa merupakan golongan masyarakat yang pertama sekali yang memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan yang sihat di kalangan anak-anak . Ini kerana, mereka merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah kepada manusia. Didikan awal kepada anak-anak amat mustahak dalam usaha merencanakan masa depan hidup mereka kerana mengabaikannya bererti akan merosakkan ahli masyarakat seluruhnya.

Pertama sekali, ibu bapa hendaklah menjadi model yang terbaik dengan menghayati dan mengamalkan ajaran agama sebenar. Ibu bapa yang soleh adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Didik dan biasakanlah anak-anak dengan tingkah laku dan kegiatan yang baik sejak anak kecil.

Ibu bapa juga harus mendisiplinkan anak dengan kasih sayang bukan kekerasan kerana ini akan menjadikan mereka berasa senang hati dan gembira untuk melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan dan pada masa yang sama menerima ganjaran atau pujian.

Selain itu, ibu bapa seharusnya memenuhi masa lapang bersama anak seperti sembahyang berjemaah, makan,membaca al-Quran dan bersukan. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa kerana sudah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

Ibu bapa juga perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Kemahiran ini perlu dipelajari ibu bapa dari semasa ke semasa. Kesabaran juga amat perlu dalam diri ibu bapa kerana tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza antara satu sama lain.


2   Guru

Dalam Islam, telah diajar tentang pendidikan. Rasulullah S.A.W. sendiri telah menjadi guru dan teladan yang baik kepada umat manusia. Baginda bersabda yang bermaksud: "Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ini ialah dengan cara pendidikan."

Dalam hal ini, guru juga memainkan peranan yang hampir sama dengan ibu bapa. Antara fungsi penting guru ialah  menjadi 'Qudwah Hasanah' atau contoh teladan baik. Setiap tingkah laku guru hendaklah dijaga kerana setiap inci pergerakan guru akan menjadi ikutan.

Guru juga harus mempunyai sifat-sifat yang baik, antaranya ialah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga . Tambahan lagi, guru juga hendaklah mengamalkan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai 'role model' kepada pelajar. Sebagai seorang guru , mereka perlulah bersedia bekerjasama dengan ibu bapa dalam usaha membentuk insan Rabbani.


3    Rakan Sebaya

Dari sudut psikologi, perkembangan anak-anak juga dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti hubungan dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya adalah amat kuat terutamanya apabila anak-anak memasuki dunia remaja. Oleh itu, hubungan dengan rakan sebaya hendaklah dijaga dan jangan biarkan anak-anak berkawan dengan rakan-rakannya yang mengamalkan budaya negatif seperti ponteng kelas dan tidak menghormati ibu bapa.

            Antara usaha yang boleh dilakukan ialah  Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Program ini merupakan satu program yang bermanfaat. Pembimbing Rakan Sebaya ialah seorang pelajar yang telah dilatih dalam bidang kemahiran asas kaunseling dan komunikasi. Ia berfungsi sebagai seorang pembimbing yang berkesan kepada rakan sebaya, terutama kepada mereka yang memerlukan pertolongan. Program ini telah diperkenalkan di sekolah-sekolah menengah seluruh Malaysia pada tahun 1987.

Antara matlamat PRS ialah membina budaya kasih mesra dan saling membantu di kalangan pelajar  dan membina pelajar yang yakin diri dan menghayati nilai- nilai murni berasaskan kepada kepercayaan kepada Tuhan. Pelaksanaan PRS ini merupakan satu usaha murni bagi membimbing rakan-rakan sebaya yang lain agar tidak terjebak kepada perkara-perkara negatif seterusnya membentuk satu persekitaran yang positif dalam perhubungan dengan rakan-rakan.


4   Anggota Masyarakat

Kerjasama anggota masyarakat amat penting untuk menciptakan lingkungan yang baik bagi perkembangan dan pertumbuhan anak-anak yang sihat.

Antara usaha yang boleh dilakukan masyarakat setempat ialah mewujudkan kerjasama dan persefahaman yang erat antara ahli dalam sesuatu kariah melalui kegiatan gotong-royong dan seumpamanya supaya anggota masyarakat setempat dapat saling mengenali antara satu sama lain serta dapat mewujudkan perasaan mengasihi anak jiran seperti mana dia mengasihi anaknya sendiri.

Selain itu,  usaha yang lain ialah memartabatkan seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan dakwah dan NGO lain) supaya peranan dan fungsi institusi berkaitan dapat direalisasikan dengan berkesan.

Masjid dapat memainkan peranan dengan menyediakan pengajian al-Quran kepada anak-anak manakala mahkamah atau perundangan pula digerakkan bagi melindungi anak-anak yang  didera atau dibiarkan oleh ibu bapa mereka.

Di samping itu, masyarakat haruslah menggesa sektor pekerjaan sama ada kerajaan, swasta atau korporat untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup sihat di kalangan pekerja mereka. Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira faktor seperti penjadualan, kegiatan kekeluargaan, hari kelepasan dan lain-lain. Dengan usaha ini, ibu bapa mempunyai masa yang lebih banyak dengan anak-anak mereka. Masa yang diperuntukan ini boleh digunakan dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang mengeratkan hubungan kekeluargaan seperti Hari Keluarga, berkelah di tepi pantai, melancong dan sebagainya.


5   Kerajaan

Kerajaan turut boleh menyumbang kepada perkembangan anak-anak. Antaranya ialah pelaksanaan Program PERMATA dan penguatkuasaan undang-undang perlindungan kanak-kanak.

i)             Pusat Anak Permata Negara (PERMATA)
Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) telah di wujudkan. PERMATA di wujudkan di bawah penyeliaan Jabatan Pelajaran Malaysia (JPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan membawa objektif untuk menerapkan modal insan di kalangan kanak-kanak bermula dari peringakat umur 1 hingga 3 tahun.

Falsafah, Fokus dan Rasional PERMATA ialah;
i)             Pendekatan yang menekankan konsep setiap anak adalah individu yang berbeza.
 ii)       Oleh itu, Program ini berpegang pada falsafah bahawa:-
•Setiap anak permata Negara
•Setiap anak amat berharga
•Setiap anak adalah modal insan Negara.
•Pendidikan awal kanak-kanak penting dalam perkembangan intelek, emosi, kognitif dan komunikasi mereka. Melalui falsafah ini PERMATA berusaha untuk mencapai objektif bagi menghasilkan modal insan negara yang cemerlang, gemilang, terbilang dalam menuju wawasan sebagai Negara maju di masa hadapan. Dalam usaha merealisasikan objektif program PERMATA, fokus diberikan kepada kumpulan sasaran atau segmen tertentu di mana kumpulan sasaran PERMATA ialah kanak-kanak berumur antara 1 hingga 4 tahun dengan tumpuan di kawasan bandar dan luar bandar.

ii)            Dasar Perlindungan Kanak-kanak
Dasar perlindungan kanak-kanak telah diperkenalkan bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama. Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Matlamat
Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak(
http://www.jkmlabuan.gov.my/jkmlabuan/index.php?option=com_content&view=article&id=67&Itemid=69 ; 24/02/2011, 9.30 p.m.)

            Pengenalan undang-undang perlindungan ini akan dapat menjamin perkembangan anak-anak. Penguatkuasaannya akan dapat membela nasib anak-anak yang tidak terbela dan selalu tertindas. Kesannya, kes-kes penderaan anak-anak yang selalu dilaporkan di media massa sekarang pasti akan berkurangan. Undang-undang seperti ini juga akan dapat membela hak kanak-kanak yang sepatutnya mendapat keperluan yang sempurna dan seterusnya membesar dengan baik.


6   Media Elektronik

Media elektronik seperti stesen penyiaran juga boleh menyumbang kepada mempertingkatkan usaha bagi melahirkan anak-anak yang baik. Antaranya ialah dengan mengadakan pelbagai program-program yang berkaitan dengan kanak-kanak. Bukan setakat program yang bersifat hiburan tetapi program yang memberikan ilmu dan pengalaman kepada kanak-kanak.

Program-program Realiti Televisyen(Adik-adikku)
Bahagian Media Elektronik dan Penyiaran (MEP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memperkenalkan rancangan realiti televisyen Adik-Adikku.
Program ini berbeza kerana ia mengetengahkan bakat 20 pendaie (pendakwah) kecil yang menunjukkan persembahan melalui pidato disusuli dengan tarannum, nasyid, bacaan surah dan sebagainya.  Adik-Adikku yang berkonsepkan hiburan dan pendidikan juga dilihat sebagai satu pendekatan dakwah Jakim yang bermula dari peringkat bawahan.
Selain memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat untuk melihat sebuah program realiti kanak-kanak yang tidak terbatas hanya kepada kebolehan bernyanyi atau berlakon semata-mata, ia juga bakal membuktikan bahawa program realiti ini mampu memaparkan karisma kepimpinan, mencungkil bakat semula jadi serta mendorong terbentuknya jati diri di peringkat awal lagi.
Program realiti ini bertemakan ‘Insan Gemilang, Karisma Terbilang’ dan telah menerima hampir 500 penyertaan pada peringkat permulaan. Program seperti ini akan dapat menjamin perkembangan  anak-anak yang sihat dan cemerlang dari segi kognitf, kemahiran berkomunikasi dan nilai-nilai kerohanian yang baik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan