Isnin, 6 Januari 2014

Faktor-faktor Berlakunya Bencana Alam


Faktor Manusia Sebagai Puncanya

Faktor kejadian bencana alam dapat dibahagikan kepada dua iaitu faktor manusia dan faktor alam. Faktor manusia bermaksud manusia yang menjadi punca ataupun yang menyebabkan kejadian bencana itu berlaku. Faktor alam atau geografi pula bermaksud prinsip alam tersebut  yang dinamik dan perlukan keseimbangan  menjadi faktor mengapa terjadinya kejadian bencana itu seperti bencana letusan gunung berapi dan gempa bumi.

Pertama sekali, kita melihat bagaimana faktor manusia menjadi penyebab kejadian bencana alam. Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Kemusnahan hutan ini berlaku disebabkan kerakusan manusia yang  menebang pokok-pokok  untuk pembalakan.

Kedua, keghairahan sesebuah negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Walaubagaimanapun, ,pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

         Oleh itu, manusia sebenar menjadi punca berlakunya bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Kelalaian manusia itu sendiri membawa kepada malapetaka yang tidak diundang.



Faktor  Alam atau Geografi

Bencana alam juga dipengaruhi oleh faktor geografi. Bencana alam seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi adalah bencana yang tidak dapat dielakkan. Bencana seperti ini bergantung kepada kawasan-kawasan yang terlibat. Sebagai contoh, lingkaran api pasifik yang merentasi beberapi negara di benua Asia dan Amerika.

Lingkaran Api Pasifik (bahasa Inggeris: Ring of Fire) merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, yang kerak buminya pecah dan bergeser atau apa yang dikenali sebagai plat tektonik. Kawasan ini berbentuk seperti ladam kuda dan merangkumi wilayah sepanjang 40,000 km. Kawasan ini juga sering disebut sebagai plat gempa Pasifik.





Hampir 90% daripada gempa bumi yang terjadi dan 81% dari gempa bumi terbesar terjadi di sepanjang Lingkaran Api ini. Daerah gempa berikutnya (5–6% dari seluruh gempa dan 17% dari gempa terbesar) adalah plat Alpide yang merentangi dari Jawa ke Sumatera, Himalaya, Mediterranean hingga ke Atlantik. Berikutnya adalah Rabung Tengah Atlantik.

         Kawasan ini banyak mengalami gempa bumi dan kebanyakannya menjadi punca berlakunya tsunami. Contohnya, kejadian bencana gempa bumi dan tsunami yang berlaku baru-baru ini di Jepun.           



Kesimpulan

            Bencana alam adalah sebuah peristiwa yang banyak mengundang masalah dan kerugian kepada manusia seperti kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Kejadian bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami adalah sesuatu bencana yang tidak dapat dielakkan oleh manusia manakala kejadian bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh sebenarnya dapat kita elakkan  sekiranya kita mengambil langkah-langkah yang wajar dalam menguruskan alam ini.

            Terdapat pelbagai jenis bencana alam di dunia ini. Bencana-bencana tersebut boleh dibahagikan kepada dua iaitu bencana yang disebabkan oleh manusia dan kedua pula bencana yang disebabkan oleh alam itu sendiri. Sebagai contoh, bencana yang disebabkan oleh manusia seperti banjir, kebakaran hutan dan tanah runtuh. Contoh-contoh bagi bencana alam pula ialah letusan gunung berapi, tsunami, gempa bumi, angin siklon, tornado dan kemarau. Kemusnahan yang dibawa oleh kesemua bencana ini adalah bergantung kepada kekuatan bencana tersebut. Terdapat pula, bencana-bencana yang dapat diukur kekuatannya seperti gempa bumi yang diukur melalui skala Ritcher.

Faktor-faktor yang menyebabkan kejadian bencana alam juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu factor manusia dan faktor alam atau geografi. Faktor geografi merujuk kepada bencana alam yang disebabkan oleh alam yang bersifat dinamik iaitu sentiasa bergerak untuk mencapai satu keseimbangan yang wajar. Namun, kejadian bencana alam ini tidak boleh mempersalahkan lumrah alam sahaja. Ini kerana, manusia turut menjadi punca berlakunya bencana alam. Kerakusan manusia menebang pokok-pokok di hutan menyebabkan tiada lagi kawasan tadahan air dan tanah pula akan bergerak atau runtuh kerana tiada yang mengcengkamnya. Ini terbukti dengan kejadian bencana alam  seperti tanah runtuh yang selalu  berlaku di negara kita.  Oleh itu, setiap kejadian bencana itu pasti ada puncanya, tidak kiralah disebabkan alam atau manusia.


Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku kerana ia sukar untuk dielakkan. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam yang  melanda setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

1 ulasan: