Isnin, 30 Disember 2013

Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap pendidikan. Fungsi asas falsafah pendidikan ialah memberi panduan dan haluan kepada pakar pendidikan untuk merancang atau mereformasikan sistem pendidikan berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan negara kita Malaysia.

Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah dibentuk secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. Untuk membentuk FPK yang boleh memberi panduan dan bimbingan yang manfaat kepada segala usaha pendidikan, beberapa faktor yang berkaitan telah dipertimbangkan terlebih dahulu. Antara faktor yang telah diambil kira ialah faktor agama, politik, ekonomi dan sosial. Pada tahun 1979, telah tercatat dalam lipatan sejarah pendidikan Malaysia dengan terbentuknya Falsafah Pendidikan Negara(FPN) yang kemudiannya bertukar menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK).  Pada masa itu, ahli jawatankuasa yang diamanahkan telah membentuknya dengan membuat pertimbangan yang teliti dan dihalusi dengan merujuk kepada Laporan Kabinet 1979, Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru(DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan(DPK) serta beberapa aspek lain.






1.1 Aspek Bagi Pembentukan FPK
      I.        Laporan Kabinet  1979
Pertama sekali, kita melihat aspek utama pembentukan FPK iaitu Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Berikut merupakan hasil daripada Laporan berkenaan.
Perakuan 191, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979. Perakuan 191 menegaskan :

“ Pendidikan di negara ini adalah untuk mencapai perkembangan murid yang menyeluruh, iaitu perkembangan yang meliputi aspek kognitif atau intelek, jasmani, sosial, emosi, sikap dan nilai-nilai etika pada murid-murid dan generasi akan datang. “


Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, dibentuk adalah hasil daripada maklum balas dan laporan daripada Jawatankuasa Kabinet tahun 1974. Pembentukan Jawatankuasa Kabinet tahun 1974, adalah kerana berlakunya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, pembentukan Rukun Negara(1970) dan pelancaran Dasar Ekonomi Baru(1970). Peristiwa-peristiwa tersebut, telah mendorong kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan sebelum ini yang kurang menitikberatkan perpaduan negara dan memajukan aspek sosial, ekonomi dan politik untuk membangunkan bangsa dan negara.
Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, yang menitikberatkan aspek nilai hanya diisytiharkan pada tahun 1998 dan dijelmakan secara rasmi melalui Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988.





Menurut Akta Pendidikan tahun 1996, Falsafah Pendidikan Negara tahun 1988, telah digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1996 (Kementerian Pendidikan, 1999).Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996, berbunyi :

“ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhdan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. “


Selain itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979 juga, telah menetapkan secara tersurat dan tersirat penentuan wajah dan jenis warganegara Malaysia yang perlu dibentuk melalui sistem pendidikan di Malaysia. Keperihatinan dan hasrat Jawatankuasa tersebut dirakamkan seperti berikut :
“ Mereka bukan sahaja perlu cekap bahkan perlu boleh berfikir dan bertindak dengan baik sama ada secara sendiri mahu pun secara beramai-ramai dengan berpandukan punca-punca akhlak yang mulia. Tegasnya individu yang lahir dari sistem persekolahan negara perlu selaras dengan tujuan pembangunan kemanusiaan. “

Ringkasnya, berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1979, peranan pendidikan tidak lagi hanya ditumpukan kepada perpaduan negara dan pengeluaran sumber tenaga manusia, tetapi pendidikan turut ditumpukan kepada pembentukan keperibadian insan selaras dengan pembangunan kemanusiaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan(1996) telah menetapkan matlamat pendidikan negara dengan jelas, iaitu pendidikan ke arah melahirkan insan, masyarakat dan warganegara yang baik.

    II.        Rukun Negara
Salah satu perlembagaan Malaysia ialah FPK. FPK dibentukan berlandaskan ideologi kebangsaan yang digabungkan bersama dengan Rukun Negara.

Rukun Negara digubal bagi memastikan perpaduan tercapai dan kekal dalam negara Malaysia. Rakyat Malaysia wajib mendukung Rukun Negara. Aspek-aspek dalam FPK diterapkan juga dengan nilai-nilai yang termaktub dalam Rukun Negara. FPK wajib dijulang oleh semua rakyat Malaysia kerana pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam memupuk perpaduan. Dengan FPK kita dapat melahirkan rakyat yang sama ciri-cirinya.

   III.        Dasar Ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru dirangka bukan sahaja untuk memupuk perpaduan malah ianya juga bertujuan untuk mengurangkan perbezaan dalam ekonomi, sosial, kebudayaan dan penempatan. Perpaduan antara kamu sebenarnya dapat dicapai dan perbezaan antara kaum pula dapat dikurangkan melalui pelaksanaan FPK. Ini kerana, FPK menekankan pembentukan individu yang menyeluruh sehingga dapat memajukan diri,  keluarga, masyarakat dan negara.

  IV.        Dasar Pendidikan Kebangsaan
Dasar Pendidikan kebangsaan pula merupakan satu dokumen yang mengandungi pernyataan dasar dan strategik perlaksanaan agar dapat dijadikan garis panduan bagi semua pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.. Dasar Pendidikan ini sebenarnya turut mempengaruhi dasar pembentukan FPK.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan