Isnin, 6 Januari 2014

Konsep Fitrah Kejadian Manusia Dari Perspektif Biologi dan Keagamaan

                                                                         
Pengenalan

Fitrah bererti sifat semula jadi, bakat atau pembawaan seseorang(Kamus Dewan Edisi Ketiga ; m.s. 353). Fitrah merupakan perkataan bahasa Arab yang bererti sifat, asal kejadian, kesucian dan bakat.
            Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan di dunia ini mempunyai fitrah kejadian masing-masing.  Seperti manusia, fitrah kejadiannya ialah mengenali Tuhan yang telah menciptakannya. Menurut agama Islam, manusia diciptakan hanyalah untuk menjadi hamba kepada Allah S.W.T. iaitu dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.  Di samping itu, manusia diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Manusia dikehendaki mentadbir, mengurus dan menjaga dunia ini berlandaskan syariat yang telah ditetapkan.
            Namun, bilangan manusia di seluruh dunia adalah begitu banyak sekali dan masing-masing menganuti pelbagai agama dan kepercayaan. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri berkaitan dengan fitrah kejadian manusia. Pandangan Ahli Falsafah Barat adalah berbeza dengan Ahli Falsafah Timur. Begitu juga halnya dengan agama. Sebagai contoh, fitrah kejadian manusia menurut agama Islam adalah berbeza dengan agama Hindu dan agama Buddha. Masing-masing mempunyai perspektif yang berbeza tentang tujuan hidup manusia dan bagaimana proses kejadian manusia.
            Proses kejadian manusia adalah mengikut proses-proses yang tertentu. Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang istimewa di muka bumi ini. Manusia mempunyai pelbagai bangsa, budaya, bahasa dan sebagainya. Menurut Dr. Montessori, semua manusia ada kecenderungan. Tanpa mengira budaya, bangsa atau tempat tinggal, semua manusia mengikut hukum yang sama bagi menggerakkan mereka untuk menunjukkan tingkah laku yang sama.
Semua manusia terdorong untuk berkomunikasi, bersosialisasi, meneroka, berdikari, bekerja, memberi perhatian, mengawal diri, mengekalkan kemamanan dan mencapai kesempurnaan. Manusia juga berkecenderungan untuk menunjukkan sikap kasih sayang dan ambil berat terhadap makhluk lain di dunia ini.(Haliza & Joy, 2009 ; Perkembangan Kanak-kanak, m.s. 2)
            Kesimpulannya, kejadian manusia mempunyai tujuan yang telah ditetapkan. Manusia mempunyai fungsi di dunia ini sama seperti makhluk-makhluk lain. Kita sebagai manusia adalah sangat memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kehidupan agar dapat bersama-sama memahami fitrah kejadian kita di dunia.

Konsep Fitrah Manusia Dari Perspektif Biologi
Secara biologi, manusia diklasifikasikan sebagai Homo sapiens, salah satu spesies dari golongan mamalia yang dilengkapi otak berkemampuan tinggi. Ahli sosiobiologi berpendapat tingkahlaku manusia adalah berasaskan arahan-arahan gen yang telah berkembang dalam diri manusia melalui proses evolusi. Menurut teori ini, interaksi yang kompleks antara gen-gen memberi manusia keupayaan dan kecenderungan untuk membentuk perilaku yang kejam atau penyayang, bersikap altruistik atau tidak, beragama atau tidak, bergantung kepada asuhan, pengalaman dan pengaruh budaya yang mencungkil potensi tersebut daripada himpunan pengaruh gen dan diri manusia. Maka fitrah manusia daripada perspektif biologi memperlihatkan asas-asas genetik seperti baka dan faktor persekitaran dapat menyumbang kepada pembentukan personaliti dan tingkah laku seseorang (Haliza & Joy, 2009 ; Perkembangan Kanak-kanak, m.s. 6).
            Baka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi sifat semula jadi manusia. Kita dapat melihat bahawa sifat-sifat tertentu individu kadang kala spesifik kepada suatu kaum atau masyarakat. Misalnya sifat fizikal seperti ketinggian atau bentuk badan. Selain itu, keupayaan dalam sesuatu bidang misalnya berlari.
Fitrah kejadian manusia juga mempengaruhi ketidaksamaan yang dimiliki oleh seseorang. Baka mempengaruhi perbezaan individu dari segi aspek kognitif, fizikal dan emosi. Baka boleh mempengaruhi potensi kognitif seseorang. Sebagai contoh, ibu bapa yang mempunyai pelajaran tinggi akan mampu melahirkan anak-anak yang bijak pandai seperti mereka. Ini kerana genetik yang ada pada mereka boleh diwariskan kepada anak-anak mereka.
Perbezaan fizikal yang disebabkan oleh faktor baka boleh dilihat pada setiap bangsa di dunia ini. Sebagai contoh, penduduk Amerika Syarikat mempunyai tubuh badan yang lebih besar dan tinggi berbanding penduduk Malaysia yang bertubuh sederhana. Di samping itu,  warna mata juga berbeza, kebanyakan penduduk Eropah dan Amerika mempunyai mata berwarna biru dan hijau dan ini berbeza dengan penduduk Asia yang kebanyakannya bermata coklat dan hitam. Dari segi emosi pula, ibu yang mengandung dan sentiasa menjaga emosinya akan melahirkan anak-anak yang lebih tenang dan sabar.
            Faktor persekitaran juga menyumbang kepada perbezaan individu dalam fitrah kejadian manusia. Latar belakang keluarga, pengaruh rakan sabaya, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat merupakan antara aspek yang menyumbang kepada perbezaan individu yang disebabkan oleh faktor persekitaran. Setiap daripada kita adalah berasal daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Ada yang berasal daripada keluarga yang mewah dan ada pula berasal daripada keluarga yang miskin. Ini akan melahirkan perbezaan individu kerana kemampuan untuk menyediakan keperluan dan kehendak keluarga adalah berbeza. Ini termasuk suasana isi rumah yang mesra dan penuh kasih sayang, serta makanan yang berzat dan seimbang.
            Dalam aspek pengaruh rakan sebaya pula, hubungan dengan rakan sebaya turut mempengaruhi personaliti seseorang. Seseorang yang berkawan dengan rakan-rakan yang bersifat positif seperti rajin belajar dan mempunyai cita-cita tinggi akan terpengaruh dan akan turut merasakan dirinya perlu melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh rakannya yang lain.
Begitu juga sebaliknya, sekiranya seseorang berkawan dengan rakan-rakannya yang selalu membuat kesalahan disiplin seperti ponteng dan merokok, dia juga akan turut terpengaruh dengan rakannya tersebut. Oleh itu, rakan sebaya sebenarnya mempunyai pengaruh besar terhadap seseorang dan di sinilah pertimbangan yang sewajarnya harus dibuat oleh ibu bapa dan anak mereka dalam aspek hubungan dengan rakan sebaya agar anak mereka menjadi seorang yang berguna kelak.
            Setiap kelompok bangsa atau kaum di dunia ini mempunyai budaya dan kepercayaan masing-masing. Budaya dan kepercayaan yang berbeza akan membentuk falsafah hidup yang berbeza. Ini seterusnya menjadi cara hidup masyrakat berkenaan. Masyarakat yang sihat akan lebih bertanggungjawab, rajin berusaha, bermoral dan mempunyai pegangan nilai kerohanian yang tinggi.
            Selain itu, sumber  teknologi dan peranan guru di sekolah turut juga menyumbang kepada pembentukan  perbezaan individu.   Sesebuah negara yang mempunyai kemajuan teknologi seperti Jepun akan menjadikan rakyatnya berbeza dengan rakyat negara lain dari segi pemikiran dan daya kreativiti. Ini kerana, sumber pemerolehan ilmu yang boleh dicapai oleh rakyat  sesebuah negara yang maju dalam teknologi adalah lebih pelbagai dan mudah diperolehi. Contoh sumber maklumat atau ilmu  yang mudah diperolehi ialah melalui suratkhabar, majalah, televisyen, radio dan internet.
            Dalam aspek peranan guru pula, guru yang penyayang akan cekap menguruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang akan melahirkan murid yang berilmu, dan berketrampilan serta berakhlak mulia. Di samping itu, pengajaran guru yang bersifat memotivasikan pelajar akan mampu melahirkan murid yang sentiasa bersemangat untuk menggapai kejayaan berbanding dengan pengajaran guru yang biasa.


Konsep Fitrah Manusia Dari Perspektif Keagamaan   

Agama ialah kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya ataupun kepercayaan kepada yang Maha Kuasa(Kamus Dewan Edisi Ketiga ; m.s. 12)
Agama ialah satu set kepercayaan, nilai dan amalan yang berasaskan pengajaran. Agama menyediakan satu model atau “blueprint” untuk diri dan masyarakat dalam pembentukan nilai dan amalan. Ia memberi kepuasan emosi kepada penganutnya. Ia membantu manusia memahami kehidupan yang penuh cabaran.(Haliza & Joy, 2009 ; Perkembangan Kanak-kanak, m.s. 3).
Kesemua agama di dunia ini adalah mementingkan kebenaran dan mengajar perkara-perkara untuk kebaikan. Sekiranya ajaran dan amalan keagamaan dihayati sepenuhnya dalam kehidupan seseorang, ia boleh melahirkan manusia yang sempurna. Setiap individu akan berusaha untuk memberi makna kepada kehidupannya. Usaha ke arah ini bergantung kepada tahap perkembangan individu tersebut, budaya serta kepercayaan keagamaannya.
            Fitrah manusia mengikut perspektif keagamaan adalah lebih bersifat ketuhanan. Ini bermaksud, fitrah manusia itu adalah mendekatkan diri dengan Tuhan yang telah menciptakannya. Namun, usaha mendekatkan diri dengan Tuhan itu bukan sekadar pada tahap mengenali Tuhan tetapi hingga ke tahap mematuhi segala suruhan dan larangan-Nya.



Menurut Perspektif Agama Islam

a)  Proses Kejadian Manusia Menurut al-Quran
Manusia pertama yang dihidupkan di atas muka bumi ini oleh Allah S.W.T ialah Adam a.s. Dalam Islam, manusia dikatakan berasal daripada tanah dan roh di mana unsur jasad dan roh telah disatukan untuk memberi nyawa kepada Adam a.s.. Zuriat bagi keturunan Adam a.s pula bermula daripada nutfah. Nutfah bermaksud percantuman air mani lelaki di dalam rahim wanita. Iaitu percantuman daripada ovum dan sperma di mana dalam berjuta-juta sperma lelaki, sperma yang terkuat sahaja akan dapat memasuki ke dalam ovum wanita. Proses ini juga juga di kenali sebagai survival of the fittest.
            Setelah berlakunya proses nutfah, alaqah pula akan terbentuk. Alaqah juga dikenali sebagai embrio dalam bahasa sains di mana air mani yang telah masuk ke dalam rahim wanita akan membentuk segumpal darah. Seterusnya alaqah akan membentuk pula sepotong daging iaitu mudghah. Dari sepotong daging, akan terbentuk pula tulang-temulang di dalam rahim yang dikenali sebagai idzam. Lahman ialah daging-daging yang akan tumbuh menyelaputi tulang-temulang yang terbentuk. Pada ketika ini, sudah terbentuk rupa manusia di dalam rahim wanita.
Seterusnya tulang-temulang yang diselaputi atau ditumbuhi daging-daging akan membentuk janin iaitu bayi yang berada di dalam kandungan wanita. Selepas terbentuknya janin bayi di dalam rahim wanita, roh akan ditiupkan untuk memberi nyawa kepada bayi di dalam kandungan dan seterusnya sehinggalah berlakunya kelahiran.


b)  Fitrah Kejadian Manusia Menurut Islam
Kehidupan beragama merupakan fitrah dalam diri setiap manusia di muka bumi ini. Ini ditegaskan Allah s.w.t dalam Al Quran, (Surah Al Imran : 19)

“sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t hanyalah Islam”

Dalam mengenali penciptanya, manusia akan mensyukuri keunikan kejadiannya dan ini akan menyebabkan manusia menghargai setiap bakat, kebolehan dan keistimewaaan yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada setiap hamba-Nya. Ini bermakna kehidupan beragama merupakan fitrah manusia yang sangat penting dalam kehidupan seseorang individu. Seperti frman Allah s.w.t dalam surah Al-Zariyat, (51:56) yang bermaksud,

“Dan (ingatlah) Aku tidak cipta jin dan manusia melainkan untuk mereka memperhamba diri kepada – Ku.”

Manusia dicipta oleh Allah s.w.t agar ia beribadat kepada-Nya dan melakukan perbuatan yang sesuai dengan suruhan dan menjauhi larangan-Nya. Ini kerana kehidupan beragama dapat membantu manusia mengawal  emosi dan dapat menguasai diri sejajar dengan tuntutan arus kemodenan untuk kemajuan masyarakat dan negara (Hassan Langgulung, 2005).
Ini bererti manusia diciptakan Allah s.w.t agar ia beribadat kepada-Nya dan melakukan perbuatan yang sesuai dengan suruhan dan menjauhi larangan-Nya. Oleh itu kehidupan beragama merupakan suatu hal yang penting dalam kehidupan manusia sekiranya mereka ingin mencapai kemajuan yang menyeluruh daripada segi kerohanian dan kebendaaan. Selain itu, kehidupan beragama merupakan naluri kepercayaan kepada agama, seterusnya mengesahkan kewujudan Allah s.w.t dalam keseluruhan kehidupannya.



c)  Manusia Sebagai Khalifah Allah
Dalam agama Islam, manusia telah diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Manusia telah dianugerahkan satu pemberian yang sangat bernilai iaitu akal. Pemberian akal kepada manusia menjadikan darjat manusia lebih tinggi berbanding dengan mahkluk yang lain yang turut diciptakan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini. Ini dapat dilihat menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (dalam Manusia dan Islam, 1990):

Telah bersabda Rasulullah s.a.w”…Dan alat bagi mukmin ialah akal…Dan tiang agama ialah akal. Dan tujuan Allah ialah akal. Dan yang menyerukan orang-orang beribadat ialah akal.

            Hadis ini menunjukkan akal sangat penting kepada manusia, dengan sendirinya ia sangat penting kepada agama. Justeru itu, Islam diturunkan untuk membimbing dan menunjuk ajar manusia ke arah kesempurnaan. Kesempurnaan kehidupan di dunia akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup di akhirat.
            Akal membantu manusia untuk membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Kurniaan ini banyak membantu manusia menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi ini. Dengan akal, manusia dapat merencanakan atau merancang sesuatu untuk memakmurkan dunia ini.
Status khalifah Allah di muka bumi ini mendorong manusia menyedari bahawa terdapat banyak pilihan dalam kehidupan ini, tetapi manusia mestilah bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana di akhirat kelak, kita semua akan dihidupkan semula dan akan bertanggungjawab terhadap pilihan-pilihan yang kita lakukan ketika hidup di dunia dahulu.( Haliza & Joy, 2009 ; Perkembangan Kanak-kanak, m.s. 5).
Secara ringkasnya, fitrah manusia menurut agama Islam ialah manusia wajib beriman, yakni mempercayai keesaan Allah s.w.t dan  wajib beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa. Di samping itu, manusia juga wajib berakhlak dalam setiap perbuatannya dan manusia perlu kepada masyarakat yang berasaskan kepada ajaran agama yang dianuti. Secara fitrahnya, manusia dilahirkan dengan sifat-sifat yang baik yang dianugerahkan oleh penciptanya. Manusia dianugerahkan akal dan mempunyai “kebebasan memilih”, lantaran itu dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Menurut Perspektif Agama Hindu

Menurut paradigma Hindu, alam semesta dicipta dalam suatu proses yang sangat panjang. Pada mulanya alam ini kosong yang ada hanyalah Tuhan, sering disebut sebagai zaman: "duk tan hana paran-paranan rawang an ruwung" yang bermaksud: "ketika itu belum ada apa-apa dan semuanya belum menentu."Dengan kuasa Tuhan telah mencipta unsur utama yang disebut Purusa, iaitu roh sebagai asas yang menghidupkan segala makhluk, sama ada makhluk yang maujud mahupun yang mujarad. Lima jasad maujud atau panca maha bhuta, iaitu akasa yang membawa maksud angkasa, bayu pula bermaksud angin, teja ialah cahaya, apah pula ialah  zat cair  dan yang terakhir ialah pretiwi iaitu zat padat .
Manusia pertama ciptaan Tuhan dalam ajaran agama Hindu ialah Syayambhumanu, yang bermaksud makhluk berfikir yang mengembangkan dirinya sendiri. Manu maknanya berfikir. Dari akar kata Manu timbul kata manusia yang bermaksud keturunan Manu. Selanjutnya, setelah manusia pertama tercipta atas kehendak Tuhan, maka manusia itu sendirilah yang berkembang. "Dahulu kala Prajapati mencipta manusia bersama Bhakti persembahannya dan berkata dengan ini engkau akan berkembang biak dan biarlah dunia ini menjadi sapi perahanmu." (Bhagavad-Gita iii Sloka 10).
            Agama Hindu juga mengajar penganutnya tentang kelahiran semula. Kelahiran semula diyakini sebahagian dari proses Hukum Karma. Seseorang yang masih sangat terikat dengan kehidupan keduniawian akan lahir kembali dan akan menjelma ke dunia ini sehingga dirinya terbebas dari ikatan karma dan mendapat kebebasan yang disebut dengan Moksha atau nama lainnya “Moksartham Jagadhita Ya ca iti dharmah”.
 Selain itu, terdapat beberapa falsafah dalam agama Hindu. Antaranya ialah Falsafah Wedata iaitu manusia akan terlepas dari penderitaan ini apabila insaf sedalam-dalamnya bahawa jiwanya sebahagian dari Tuhan dan akhirnya jiwa manusia itu akan mati, rohnya tidak lagi dilahirkan semula bahkan bersatu dengan Tuhan. Menurut agama Hindu, kelahiran dan penghidupan manusia di dunia dianggap sebagai malapetaka dan penderitaan.Oleh itu, penganutnya perlu berusaha untuk memperbaiki kehidupannya sebagai manusia di dunia ini agar tidak dilahirkan semula. Di samping itu, terdapat pula Falsafah Sangkya iaitu manusia akan terlepas dari penderitaan apabila insaf bahawa jiwanya tidak bersangkut-paut dengan benda. Cita-cita tertinggi manusia adalah berpisah selama-lamanya dari benda (material).
Ancaman hukum karma yang lainnya dalam pandangan Hindu adalah menjelma tidak lagi menjadi sebagai manusia, tetapi disebabkan dosa yang teramat mengakibatkan kelahiran terburuk menjadi seekor ular ataupun menjadi tumbuh-tumbuhan. Dalam Sarasamuccaya (Kitab Suci Hindu) dikatakan bahawa hanya menjadi manusialah kehidupan ini akan dapat diperbaiki.
Hukum karma yang diajar dalam agama Hindu bukanlah sebuah konsep yang mengada-ada dan mengawang-awang, akan tetapi adalah sebuah gambaran yang realistik dalam mengarahkan kehidupan umat manusia senantiasa saling mengasihi sesamanya dan juga menjaga alam di mana sahaja dia berada.
.          

Menurut Perspekif Agama Buddha

Proses kejadian manusia menurut pandangan agama Buddha berlaku melalui proses yang lama. Proses ini juga melalui beberapa evolusi. Proses evolusi ini mirip dengan Teori Evolusi Darwin tetapi mempunyai beberapa perbezaan.
            Dalam agama Buddha, terdapat empat sebab mengapa jasad timbul dan berkembang. Pertama, jasad muncul kerana kamma sebagai penyebab yang disebut juga sebagai kammajarupa. Kedua, penyebabnya ialah citta yang disebut juga sebagai cittajarupa. Ketiga, jasad muncul kerana utu iaitu haba sebagai penyebab(utujarupa). Akhir sekali iaitu penyebab keempat ialah ahara iaitu makanan yang disebut juga sebagai aharajarupa.( http://www.scribd.com/doc/47081181/Fitrah-Kejadian-Manusia-Buddha ; 23/02/2011, 12.30).
Proses kejadian manusia menurut agama Buddha adalah melalui empat evolusi. Evolusi pertama mengatakan dalam proses pengerasan bumi dari zat cair ke padat, manusia mula muncul di bumi. Manusia yang pertama kali muncul di dunia bukan seorang tapi banyak. Mereka muncul bukan kerana kemahuan makhluk tertentu. Proses kejadian manusia ini dihuraikan  di dalam Agganna Sutta, Sutta Patika dan DighaNikaya. Makhluk-makhluk yang meninggal di Abhassara(alam cahaya) biasanya dilahirkan semula di bumi sebagai manusia. Mereka hidup dari ciptaan batin (mano maya)memiliki tubuh yang bercahaya dan melayang-layang di angkasa. Mereka tidak mempunyai jantina dan tiada beza lelaki atau perempuan dan mereka  dikenal sebagai makhluk saja.
Evolusi kedua ialah  ada di antara makhluk-makhluk itu memiliki sifat khianat atau tamak. Lalu, mereka memakan sari tanah ( muncul dari air). Maka mereka diliputi oleh rasa sari tanah itu dan nafsu keinginan muncul dalam diri mereka. Maka matahari, bulan, bintang dan alam semesta wujud.

Pada evolusi ketiga pula, mereka makan sari tanah tersebut semula. Maka tubuh mereka menjadi padat dan muncul dalam pelbagai bentuk tubuh. Dalam kalangan mereka ada yang memiliki tubuh cantik atau buruk. Maka wujud perasaan sombong dan dengki terhadap kejadian masing-masing. Kemudian wujudlah tumbuh-tumbuhan seperti cendawan, padi, tumbuhan menjalar.
Evolusi terakhir ialah evolusi keempat, pada fasa ini proses pembentukan manusia berlaku. Setelah wujudnya tumbuhan itu, makhluk tersebut mula menikmatinya. Apabila mereka menikmatinya, tubuh mereka menjadi lebih padat sehinggalah terhasil perbezaan tubuh antara lelaki (purisalinga) dan perempuan (itthilinga). Mereka saling memperhatikan tubuh mereka antara satu sama lain sehingga timbulnya perasaan nafsu indria maka berlakunya hubungan kelamin (methuna).
Agama Buddha juga mengajar penganutnya tentang kelahiran semula. Penganut Buddha mengatakan bahawa apabila manusia mati, semua roh akan berpisah daripada jasad. Pembentukan manusia baru adalah diri. Apabila seseorang manusia mencapai tahap nirwana. (peringkat dapat hapus segala nafsu dan kehendak), maka tiada kelahiran semula.


Menurut Perspektif Agama Kristian

Ahli falsafah barat menganggap fitrah kejadian manusia berasaskan 3 tiga konsep iaitu  semula jadi berdosa, tabula rasa dan “innategoodness”.  Pada kurun ke 17, John Locke memperkenalkan konsep tabula rasa. Kanak-kanak diibaratkan seperti ´Blank blanket' keperibadiannya terbentuk daripada pengalaman. Pada kurun berikutnya, Jean-Jacques Rousseau memperkenalkan konsep “innate goodness”. Menurutnya kanak-kanak dilahirkan dengan keadaan yang sedia baik.
Mengikut sejarah asal usul manusia iaitu Adam dan Hawa, mereka berdua  dianggap berdosa dan disingkirkan dari syurga hasil dari perbuatan mereka yang melanggar larangan Tuhan itu. Akibat dari penyingkiran itu keturunan Adam dan Hawa terpaksa menanggung derita dan kesengsaraan akibat perbuatan mereka.
Manusia kemudiannya dikatakan berdosa sejak lahir.  Pelbagai cara dibuat untuk menghilangkan dosa ini. Menurut perjanjian lama atau Old Testement orang Yahudi mengorbankan lembu dan kambing untuk membersihkan dosa ini tetapi untuk membersihkan dosa seluruh umat manusia satu pengorbanan yang agung perlu dilakukan iaitu dengan kematian Anak Tuhan.

Teori Darwin
Manusia merupakan salah satu makhluk ciptaan untuk melengkapi kehidupan di muka bumi ini.  Manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding kehidupan lain kerana manusia dikurniakan dengan akal fikiran untuk berfikir dan bertanggungjawab untuk mentadbir alam ini. Manusia terdiri daripada tiga unsur iaitu minda,tubuh badan dan kerohanian. Dengan kata lain, manusia terdiri daripada akal/minda, biologikal/fizikal, dan roh. Di Barat, falsafah kejadian manusia dikaji melalui Teori Darwin.
Charles Darwin adalah dari lingkungan orang yang taat beragama Kristian dan merupakan sarjana muda teologi. Charles Darwin mengemukakan teori proses evolusi makhluk hidup sehingga menghasilkan makhluk tertinggi yang disebut manusia. Bukti berupa fosil adalah makhluk yang berupakan antara beruk dan manusia. Ini menunjukkan bukti bahawa evolusi demikian pernah terjadi.


Rumusan


            Ringkasnya, setelah melihat kepada keempat-empat  agama tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa setiap agama dan kepercayaan mempunyai perspektif yang tersendiri tentang kejadian manusia dan tujuan kehidupannya di dunia ini. Selain itu, kepelbagain perspektif atau pandangan daripada agama-agama tersebut ini tidak menafikan kewujudan Tuhan sebagai faktor kejadian manusia. Oleh yang demikian, fitrah kejadian manusia adalah untuk mengenali Tuhan yang sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan