Isnin, 6 Januari 2014

Teori-teori Perkembangan Manusia


Teori   Perkembangan  Kognitif  Jean  Piaget

Perkembangan kognitif kanak-kanak memberi penekanan terhadap pembinaan pemikiran kanak-kanak. Ia berpusat kepada perubahan pemikiran kanak-kanak yang berlaku daripada satu peringkat perkembangan kepada yang seterusnya.

            Seperti yang kita sedia maklum, teori perkembangan kognitif dipelopori oleh tokoh yang tidak asing lagi bagi kita semua iaitu Jean Piaget dan Lev Vygotsky. Teori-teori ini memainkan peranan penting dalam membantu kita menjadi bakal guru yang lebih memahami cara kanak-kanak berfikir sekaligus melatih kita dalam memainkan peranan  dalam merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak.           

            Jean Piaget ( 1896-1980) telah menjelaskan tentang kaedah manusia mempersepsi ilmu dan membina hipotesis. Beliau juga menjelaskan bagaimana minda manusia membentuk skemata dan melaksanakan proses akomodasi dan asimilasi dalam membina ilmu.       

Piaget mengenalpasti 4 faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu:
  1. Kematangan Biologi: Proses pemikiran yang dipengaruhi oleh faktor baka/ genetik.
  2. Interaksi Individu dengan Persekitaran: Salah satu proses yang dilalui oleh manusia untuk memahami perkara-perkara yang berlaku.
  3. Pengalaman Sosial: Perkembangan kognitif juga dipengaruhi oleh pergaulan individu dengan orang-orang di sekelilingnya.
  4. Keseimbangan: Proses keseimbangan adalah merupakan salah satu cara yang digunakan oleh individu untuk mengadaptasi dengan situasi yang baru dialami.
Menurut Piaget, setiap individu cenderung untuk memahami persekitaran mereka dan proses ini dikenali sebagai Proses Mencapai Keseimbangan. Setiap kali individu memperoleh sesuatu pengalaman, mereka akan menyusun pengalaman-pengalaman  tersebut dalam minda dan membentuk satu sistem yang dipanggil Skema. Proses penyusunan dan pembentukan skema ini dipanggil Organisasi.        

            Skema-skema ini akan digunakan oleh individu apabila mereka berdepan dengan sesuatu situasi yang memerlukan penyelesaian. Pembentukan skema bermula sebaik sahaja individu dilahirkan. Contoh: Kanak-kanak membina skema dan mengkategori bahawa kenderaan yang mempunyai dua tayar sebagai basikal.  

            Dalam banyak situasi, skema-skema yang dibentuk ini akan berhadapan dengan situasi yang baru. Contohnya: Kanak-kanak telah mengenal bahawa kenderaan bertayar dua hanya basikal, namun apabila terlihat kenderaan bertayar dua yang lain, ibunya menerangkan bahawa ini motosikal. Kanak-kanak akan menjadi buntu, kerana skema yang asal menyatakan, hanya basikal bertayar dua. Namun, proses ini adalah proses yang mana semua individu akan laluinya dan mereka perlu mengubahsuai skema yang lama supaya mereka dapat mengadaptasi dengan situasi yang baru.          

            Proses perubahan atau penukaran skema yang lama kepada skema yang baru dipanggil adaptasi. Adaptasi melibatkan dua proses yang saling berkait iaitu asimilasi dan akomodasi. 
            Asimilasi berlaku apabila individu cuba memahami pengalaman baru dan cuba untuk menyesuaikan pengalaman-pengalaman ini dengan skema yang telah sedia ada. Contohnya: Setelah kanak-kanak tersebut melihat bahawa motosikal juga bertayar dua, dia akan mengasimilasikan skema yang baru ini dengan skema yang sedia ada. Melalui pengalaman dan bimbingan, kanak-kanak akan cuba memadankan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada.  

            Manakala, akomodasi pula merupakan proses yang berlaku apabila individu dapat menukar skema yang lama untuk disesuaikan dengan pengalaman baru dan seterusnya membentuk skema yang baru. Dalam contoh di atas: Kanak-kanak tadi dapat mengakomodasi di mana dapat mengkategorikan motosikal sebagai sebuah kenderaan bertayar     dua.

            Menurut Piaget lagi, proses mengorganisasi, mengasimilasi dan mengakomodasi adalah proses yang digunakan untuk individu mencapai keseimbangan. Secara kesimpulannya, jika kita menggunakan skema baru untuk situasi/ pengalaman yang baru dan ia berjaya, maka keseimbangan akan berlaku, tetapi sekiranya tidak memberi penyesuaian terhadap diri kita, maka keseimbangan tidak berlaku namun kita akan terus membina skema-skema baru untuk disesuaikan dengan situasi yang baru tersebut.

Peringkat-Peringkat Perkembangan Kognitif
1. Peringkat Sensori Motor(0-2 tahun):
  • Peringkat ini merupakan permulaan dalam perkembangan kognitif yang mana bayi menggunakan deria dan pergerakan fizikal untuk mempelajari tentang persekitarannya. Skema-skema yang terbentuk adalah hasil interaksi fizikal bayi dan persekitaran. Contoh: menggunakan mulut untuk merasa objek dan mengkoordinasi mata dan tangan untuk mencapai objek.
  • Peringkat sensori motor adalah peringkat yang mana kanak-kanak mengkoordinasi maklumat deria dengan kebolehan motor untuk membentuk skema bagi membolehkan mereka meneroka dan mengetahui persekitaran mereka.
  • Pada peringkat akhir sensori motor, kanak-kanak akan melakukan imitasi (proses peniruan) terhadap tingkahlaku yang dilihat atau diperhatikan. Contohnya: meniru perlakuan melambaikan tangan.
2. Peringkat Pra Operasi (2-7 tahun)
  • Pada peringkat ini kanak-kanak akan cuba menggambarkan dan merancang pergerakan atau aktiviti dengan menggunakan minda mereka untuk membentuk skema.
  • Peringkat pra operasi adalah apabila kanak-kanak dapat mewakili sesuatu dengan simbol mental. Simbol yang digunakan termasuk bahasa, isyarat, gambar dan sebagainya.
  • Antara kebolehan lain yang diperoleh pada peringkat ini ialah permainan membayangkan (pretend play). Seperti mengambil watak kartun atau karakter popular seperti spiderman, power rangers, barbie serta meniru perlakuan doktor, guru dan lain-lain. Mereka juga memberi kualiti atau ciri benda hidup kepada benda bukan hidup seperti hujan turun kerana menangis.
  • Menurut Piaget, kanak-kanak pada peringkat ini menunjukkan sikap egosentrik yang bermaksud, mereka melihat dan memahmi persekitaran melalui persperktif sendiri. Pada peringkat ini, kanak-kanak selalu menyangka orang lain mempunyai perasaan, reaksi dan perspektif yang sama dengan mereka. Contoh: Seorang kanak-kanak yang suka melihat siri kartun, beranggapan semua orang lain juga mempunyai minat yang sama dengannya.


3.  Peringkat Operasi Konkrit (7-11 Tahun)
  • Kanak-kanak dalam peringkat ini berkebolehan berfikir secara logik walaupun pemikiran masih terikat dengan situasi yang konkrit.
  • Pada peringkat ini, kanak-kanak juga menguasai proses pengelasan. Dalam kemahiran ini, kanak-kanak dapat mengklasifikasikan objek ke dalam set atau kumpulan berdasarkan sesuatu ciri. Contoh: Pengelasan mengikut ciri, warna, saiz dan lain-lain.
  • Pemikiran egosentrik pula telah menjadi pemikiran secara decenterd atau objektif. Pemikiran ini membolehkan kanak-kanak memahami persepsi dan pandangan orang lain yang berlainan daripada persepsi mereka. Mereka sudah boleh mula bersosial dan menerima pandangan rakan-rakan semasa bermain atau membuat aktiviti bersama.
4. Peringkat Operasi Formal (11 tahun ke atas)
  • Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh melakukan proses mental ke atas idea-idea dan membuat jangkaan atau andaian berdasarkan fakta dan pemikiran mereka tidak lagi terikat kepada bahan-bahan konkrit.
  • Antara ciri-ciri pemikiran secara formal yang dilalui seperi berfikir secara abstrak, sistematik dan boleh membuat hipotesis.
  • Selain daripada ciri-ciri di atas, egosentrik remaja muncul dan lebih tertumpu kepada idea dan pemikiran mereka sendiri. Mereka susah untuk menerima pendapat orang lain dan mempunyai perasaan mereka sentiasa diperhatikan oleh orang sekeliling.




Teori  Perkembangan Sosial Erik Erikson

Erik Erikson (1902-1994) telah menganalisis perkembangan sosial kanak-kanak dalam jangka masa kehidupan mereka. Beliau menjelaskan bahawa manusia mempunyai keperluan asas yang sama dan perkembangan mereka bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan tersebut. Perkembangan kanak-kanak berlaku mengikut tahap tertentu. Erikson percaya bahawa setiap tahap mempunyai konflik tertentu yang perlu diatasi supaya tidak menjejaskan perkembangan kanak-kanak.
Teori Erik Erikson dikenali sebagai Teori Perkembangan Psikososial Erikson kerana ia mengabungkan tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan individu, iaitu faktor kendiri, emosi dan sosial.

Prinsip-Prinsip Teori Erikson
1. Manusia mempunyai keperluan asas yang sama.
2. perkembangan individu bergantung kepada tindak balas terhadap keperluan-keperluan asas.
3. perkembangan manusia mengikut tahap-tahap yang tertentu.
4. setiap tahap mempunyai konflik dan konflik ini mesti diatasi sebelum individu dapat berfungsi dengan jayanya pada tahap yang berikutnya.
5. kegagalan mengatasi konflik pada suatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap yang berikutnya.


Peringkat-Peringkat Perkembangan Emosi Teori Erikson
Tahap 1 - Kepercayaan Lawan ketidakpercayaan (0 -18 bln)
Bayi mula membentuk perasaan percaya lawan tidak percaya. Perasaan percaya pada persekitaran dan orang lain akan wujud sekiranya bayi tersebut mendapat penjagaan yang baik dari penjaganya; terutama daripada ibu. Sebaliknya; jika bayi tersebut tidak mendapat penjagaan yang sempurna maka akan timbul perasaaan tidak percaya pada tahap ini. Cara penjagaan bayi akan mempengaruhi emosi dan perasaan percaya dalam diri bayi tersebut.

Tahap 2 - Autonomi lawan malu/kekeliruan (18 bln – 3 thn )
Pada tahap ini kanak-kanak sudah mula berkeinginan melakukan sesuatu perbuatan sendiri. Mereka mula berdikari dan tidak suka dibantu atau dikongkong orang dewasa. Situasi ini merupakan permulaan kepada pembentukan perasaan keyakinan diri pada kanak-kanak tersebut. Dorongan dan galakan ibu bapa akan membantu kanak-kanak membina perkembangan dan menyelesaikan sesuatu tugasan.

Tahap 3 - Inisiatif lawan Bersalah (3-6 thn)
Pada tahap ini kanak-kanak mula berinteraksi dengan persekitaran. Banyak inisiatif dilaksanakan bagi memenuhi naluri ingin tahu yang tinggi. Mereka ingin meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.  Mereka akan cuba melakukan kerja-kerja yang dibuat oleh orang dewasa. Perkembangan ketika ini tidak boleh disalah asuh kerana akan menyebabkan kanak-kanak hilang inisiatif, suka menyendiri dan akan menimbulkan masalah apabila memasuki alam persekolahan.



Tahap 4. ketekunan lawan rasa rendah diri 6-12 tahun
Kanak-kanak mesti menghadapi pembelajaran kemahiran baru atau sebaliknya menghadapi risiko perasaan rendah diri, kegagalan dan tidak cekap.

Tahap 5. identiti lawan kekeliruan identiti 12-18 tahun
Remaja mesti berjaya mencari identiti dalam pekerjaan, peranan jantina, politik dan agama, jika tidak perasaan rendah diri akan timbul.

Tahap 6. kerapatan lawan pengasingan 18-35 tahun
Dewasa akan membina hubungan rapat atau sebaliknya merasa terasing jika tidak mahir membina hubungan.

Tahap 7. generativiti lawan pemusatan kendiri (stagnasi) 35-60 tahun
Setiap dewasa mencari jalan untuk memuaskan hati dan menyokong generasi akan datang atau sebaliknya hanya memusatkan kepada perkembangan /aktiviti diri.

Tahap 8. kesepaduan lawan putus asa 60 tahun – akhir hayat
Kemuncak perkembangan di mana perasaan diterima dengan perasaan kepuasan atau merasa tidak diterima dan putus asa dengan kehidupannya.


Teori  Bandura

Dalam tahun 1941, Miller dan Dollard telah mencadangkan bahawa teori pembelajaran dan peniruan yang menolak anggapan teori tingkah laku tradisional. Ini disebabkan oleh teori pembelajaran tersebut gagal untuk mengambil kira perihal respons baru, iaitu proses melambat atau menyegerakan proses pengukuhan peniruan. Ramai antara ahli psikologi behavioris mendapati bahawa pelaziman operan memberi keterangan yang terhad tentang pembelajaran.
 Ada antara mereka yang telah meluaskan pandangan mereka tentang pembelajaran dengan menambah proses- proses kognitif seperti jangkaan, pemikiran dan kepercayaan yang tidak boleh diperhatikan secara langsung. Satu contoh tentang pandangan seperti ini telah dikemukakan oleh Albert Bandura dalam teori kognitif sosial. Bandura percaya bahawa pandangan ahli teori behavioris tentang pembelajaran walaupun tepat tidaklah lengkap.
Mereka hanya memberi sebahagian sahaja keterangan tentang pembelajaran dan tidak mengambil kira aspek- aspek penting terutamanya pengaruh- pengaruh sosial ke atas pembelajaran. Dalam tahun 1963, Albert Bandura dan Walters telah menghasilkan buku Skop Learning and Personality Development, di mana beliau meluaskan skop teori pembelajaran dengan menjelaskan lagi prinsip pembelajaran pemerhatian dan peneguhan.

Teori Pemodelan Bandura
Bandura dan Walters menggunakan sekumpulan kanak- kanak tadika berumur 3- 6 tahun untuk menjalankan kajian dan berjaya membuktikan bahawa kanak- kanak keseluruhannya meniru model yang ditonton dengan gaya yang lebih agresif.           
Beliau merumuskan bahawa pelbagai tingkah laku sosial seperti keagresifan, persaingan, peniruan model dan sebagainya adalah hasil pemerhatian daripada gerak balas yang ditonjolkan oleh orang lain. Teori pembelajaran sosialis menekankan pembelajaran melalui proses permodelan iaitu pembelajaran melalui pemerhatian atau peniruan. Teori ini terdiri daripada teori permodelan Bandura.
Mengikut teori Albert Bandura (1925) seorang profesor psikologi di Universiti Stanford pembelajaran melalui pemerhatian merupakan pembentukan asas tingkah laku orang lain, individu dan secara tidak langsung mempelajari pula perubahan tingkah laku tersebut. Bandura menyebut orang yang diperhatikan sebagai model dan proses pembelajaran melalui pemerhatian tingkah laku model sebagai permodelan. Ia juga menekankan aspek interaksi antara manusia dan persekitaran. Pada amnya Bandura juga melihat manusa sebagai aktif berupaya mengendalikan tingkah laku secara selektif dan tidak merupakan entiti yang pasif yang boleh dipermainkan oleh keadaan persekitaran mereka.
Terdapat dua jenis pembelajaran melalui pemerhatian. Pertama, ia boleh berlaku melalui peneguhan. Ini berlaku apabila kita melihat orang lain diberi ganjaran atau denda untuk tindakan tertentu kita mengubah tingkah laku. Melalui ganjaran, contohnya seandainya kita memuji dua orang pelajar kerana membuat kerja yang menarik di dalam kelas maka pelajar- pelajar yang memerhatikan penghargaan mungkin akan membuat kerja yang lebih baik pada masa akan datang. Denda juga boleh mempunyai kesan yang sama. Contohnya kita akan mengurangkan had laju semasa memandu selepas melihat beberapa orang mendapat saman kerana memandu dengan laju.
Pembelajaran pemerhatian yang kedua ialah pemerhati meniru tingkah laku model walaupun model tersebut tidak menerima peneguhan atau denda semasa pemerhati sedang memerhatikan. Selalunya model menunjukkan sesuatu yang hendak dipelajarinya oleh pemerhati dan mengharapkan peneguhan apabila dapat menguasai. Contoh cara yang betul meletakkan tangan untuk bermain piano tetapi peniruan berlaku apabila pemerhati hanya mahu menjadi seperti model yang disanjung.

Prinsip Pembelajaran Melalui Pemerhatian/ Permodelan
Bandura (1986) mengenal pasti empat unsur utama dalam proses pembelajaran melalui pemerhatian atau pemodelan iaitu perhatian, mengingat, reproduksi dan peneguhan atau motivasi.

PEMERHATIAN
Untuk belajar melalui pemerhatian, kita mesti menumpukan perhatian. Biasanya kita memberi perhatian kepada orang yang menarik, popular, cekap atau disanjungi. Untuk kanak- kanak kecil ini mungkin merujuk kepada ibu bapa, abang atau kakak atau guru- guru. Bagi pelajar yang lebih tua ia mungkin merujuk kepada rakan sebaya yang popular dan artis pujaan. Faktor- faktor yang mempengaruhi perhatian ialah ciri- ciri model termasuk nilai, umur, jantina, status dan perhubungan dengan pemerhatian.
            Dalam pengajaran kita perlu pastikan pelajar menumpukan perhatian kepada ciri- ciri penting pelajaran dengan pengajaran yang jelas dan menekankan isi- isi penting. Dalam suatu tunjukcara contohnya memasukkan benang ke lubang jarum mesin jahit kita mungkin memerlukan murid- murid duduk berhampiran dengan kita supaya mereka nampak bagaimana cara melakukannya dengan betul. Perhatian mereka akan ditumpukan kepada ciri- ciri yang betul dalam situasi tersebut dan dengan itu menjadikan pembelajaran pemerhatian yang betul.

MENGINGAT
Untuk belajar melalui pemerhatian, kita mesti menumpukan perhatian. Biasanya kita memberi perhatian kepada orang yang menarik, popular, cekap atau disanjungi. Untuk kanak- kanak kecil ini mungkin merujuk kepada ibu bapa, abang atau kakak atau guru- guru. Bagi pelajar yang lebih tua ia mungkin merujuk kepada rakan sebaya yang popular dan artis pujaan. Faktor- faktor yang mempengaruhi perhatian ialah ciri- ciri model termasuk nilai, umur, jantina, status dan perhubungan dengan pemerhatian.
Dalam pengajaran kita perlu pastikan pelajar menumpukan perhatian kepada ciri- ciri penting pelajaran dengan pengajaran yang jelas dan menekankan isi- isi penting. Dalam suatu tunjukcara contohnya memasukkan benang ke lubang jarum mesin jahit kita mungkin memerlukan murid- murid duduk berhampiran dengan kita supaya mereka nampak bagaimana cara melakukannya dengan betul. Perhatian mereka akan ditumpukan kepada ciri- ciri yang betul dalam situasi tersebut dan dengan itu menjadikan pembelajaran pemerhatian yang betul.

REPRODUKSI
Pemerhatian harus berupaya melakukan semula tingkah laku yang ditirunya. Apabila seseorang tahu bagaimana sesuatu tingkah laku ditunjukkan dan mengingat ciri- ciri atau langkah- langkah dia mungkin belum boleh melakukannya dengan lancar. Sesorang itu memerlukan latihan yang banyak, mendapat maklum balas dan bimbingan tentang perkara- perkara penting sebelum boleh menghasilkan tingkah laku model. Di peringkat penghasilan latihan menjadikan tingkah laku lebih lancar dan mahir.

PENEGUHAN/MOTIVASI
Kita mungkin telah memperoleh satu kemahiran atau tingkah laku baru melalui pemerhatian, tetapi kita mungkin tidak dapat melakukan tingkah laku itu sehingga ada sesuatu bentuk motivasi atau insentif untuk melakukannya. Peneguhan boleh memainkan beberapa peranan dalam pembelajaran pemerhatian. Seandainya kita mengharapkan untuk mendapat peneguhan dengan meniru tindakan seseorang model, kita mungkin menjadi lebih bermotivasi untuk menumpukan perhatian, mengingat dan menghasilkan semula tingkah laku. Selain itu, peneguhan penting untuk mengekalkan pembelajaran. Seseorang yang mencuba menunjukkan tingkah laku baru tidak akan mengekalkanya tanpa peneguhan. Sebagai contoh, seorang pelajar yang tidak popular cuba memakai pakaian fesyen baru tetapi diejek oleh rakan- rakan dan dia tidak akan meneruskan peniruannya.


Teori  Kohlberg

Teori Perkembangan oleh Lawrence Kohlberg pula mengetengahkan tentang tiga tahap penaakulan iaitu pra-konvensional, konvensional dan juga pos-konvensional. Ketiga-tiga tahap ini mempunyai salingkaitan antara satu dengan yang lain.
            Tahap pra-konvensional (6-9 tahun), kanak-kanak berfikir bahawa perkara yang betul adalah mematuhi peraturan yang ditetapkan. Tahap ini mempunyai dua peringkat i aitu orientasi hukuman dan kepatuhan serta orientasi ganjaran peribadi.
Tahap kedua adalah tahap konvensional (9-15) yang mana mereka akur dengan norma yang dipegang oleh majoriti, dapat menerima pendapat seseorang dan mengaplikasikan peraturan yang ditetapkan oleh masyarakat sekeliling. Tahap ini dibahagikan kepada dua lagi peringkat iaitu orientasi persetujuan antara individu dan juga akur kepada sistem sosial dan etika peraturan.
Tahap terakhir merangkap tahap penaakulan tertinggi iaitu tahap pos-konvensional (16 tahun keatas). Dibahagikan lagi kepada dua peringkat iaitu etika kontrak sosial dan hak individu serta prinsip moral ataupun etika sejagat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan