Isnin, 6 Januari 2014

Perkaitan Antara FPK Dengan Matlamat Sukatan BM KBSR dan KSSR

PERKAITAN ANTARA FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN(FPK) DENGAN  MATLAMAT SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH 2003 DAN MATLAMAT DOKUMEN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH 2010.

6.0      Pengenalan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Pada amnya, falsafah boleh didefinisikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran dan atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal.  Tujuan falsafah ialah mencari dan membukti kebenaran dan memberi arah tujuan atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.
     Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (2005, hal. 406) membawa maksud pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu yang lain.
Pendidikan pula adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara individu dengan individu yang lain. Contohnya seperti seorang guru dengan murid-muridnya ataupun seorang ibu dengan anaknya. Pendidikan merupakan proses pembelajaran yang tidak akan pernah berhenti dalam kehidupan seorang manusia kerana ia berlaku sepanjang hayat.
            Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula adalah boleh diertikan sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan di negara kita iaitu negara Malaysia.  Seperti mana yang telah diketahui, matlamat sebenar FPK adalah sangat jelas iaitu untuk menghasilkan individu secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Matlamat boleh  dicapai melalui pelaksanaan Kurikulum bersepadu Sekolah Rendah 2003 dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2010. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa Falsafah Pendidikan Negara(FPK) dan KBSR dan KSSR adalah saling berkait rapat antara satu sama lain.
Pada asalnya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN). Ia diperkenalkan sekitar pertengahan tahun 1980-an. Sekitar tahun 1990-an, FPN ditukarkan kepada FPK dengan sedikit proses penggubalan. Penggubalan FPK oleh pakar-pakar pendidikan dilakukan secara teliti dan mengambil berat tentang keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. FPK digambarkan sebagai medium penghasilan produk (anak-anak murid) yang menepati citarasa masyarakat dan hasrat negara. Intipati utama dalam FPK ini ialah melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERI. Namun, perlu diingat bahawa tidak ada yang lebih utama antara keempat-empat unsur tersebut, yakni tidak boleh dikatakan jasmani lebih penting daripada intelek atau sebaliknya.

Berikut adalah teks lengkap Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

 “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”
Meneliti setiap kata yang terkandung dalam (FPK) di atas, dapat kita perhatikan bahawa matlamat atau hasrat kerajaan dalam sektor pendidikan di negara ini adalah untuk melahirkan individu atau modal insan yang seimbang dalam semua segi sama ada intelek, rohani, emosi mahupun jasmani (Roselan Baki, 2003). Bagi mencapai matlamat ini, sudah pastilah tanggungjawab dipikul oleh mereka yang bergelar guru dalam menerapkan segala aspek dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal insan yang unggul dan dapat melaksanakan tanggungjawab ini. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidikan.


6.0.2   Sukatan Pelajaran
(a) Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

Perlaksanaan KBSR adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Kajian yang telah dilakukan oleh Jawatankuasa Kabinet ini terhadap Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) yang telah dilaksanakan sejak merdeka tersebut mendapati bahawa terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

Jadual 6.1  Kronologi Pembentukan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah(KBSR)
1982
~Percubaan di 305 buah sekolah seluruh Malaysia.
1983
~Pelaksanaan penuh di semua sekolah.
1984
~Amalan perdagangan disisipkan dan diganti dengan Kemahiran    Hidup.
1988
~Falsafah Pendidikan Negara dinyatakan secara rasmi
1993
~Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum    Bersepadu Sekolah Rendah.
1994
~Alam Dan Manusia digantikan dengan Sains Dan Kajian Tempatan.


Justeru, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah telah dilancarkan sepenuhnya pada tahun 1983. Pada tahun 1993, Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukarkan kepada nama baharu iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Namun, hanya perubahan nama sahaja yang berlaku. Kandungan kurikulum itu masih sama seperti sebelumnya.

Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai ialah yang pertama, murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan.


(b) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)

Bermula tahun 2011, semua sekolah akan menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini akan dijalankan secara berperingkat di seluruh Malaysia bermula tahun 1  2011. Kurikulum ini selaras dengan perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih berkualiti sejajar dengan zaman yang serba maju dan canggih kini.

            Transformasi kurikulum ini digubal berasaskan dua standard utama, iaitu pertama: Standard Kandungan yang merujuk kepada penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Kedua: Standard Pembelajaran yang merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
KSSR ini telah dibina selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum ini juga bersifat holistik, tidak terlalu akademik dan tidak membebankan murid.  Selain itu, kurikulum ini juga menyediakan pendidikan berkualiti secara optimum untuk murid bermasalah pembelajaran supaya mereka menjadi insan yang seimbang, berdikari dan berjaya dalam kehidupan. Jadi, adalah diharapkan pelaksanaan KSSR ini dapat membaharui kurikulum sedia ada dan memastikan ianya relevan dengan keperluan pendidikan semasa.




6.1 Kaitan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) Dengan Matlamat Sukatan Pelajaran bahasa  Melayu Sekolah  Rendah 2003
Seperti yang kita maklum bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) hanya dapat dicapai sekiranya Kurikulum Sekolah Rendah ini dilaksanakan dengan jayanya. Oleh itu, tidak salah sekiranya kita mengatakan bahawa Kurikulum Sekolah Rendah ini dibuat berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(FPK) sebagai pedoman dan arah tuju.
Matlamat Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian. Selain itu, ia juga mahu melahirkan murid yang menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa imu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dan usaha ini adalah semata-mata bertujuan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan berakhlak mulia.

            Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6.


Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu (Abdullah Hassan, 1996).
Seperti yang kita maklum, rancangan KBSR  telah memberi tumpuan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh yang meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS). Aspek pengajaran nilai-nilai murni dan kewarganegaraan juga turut ditekankan berbanding KLSR sebelum ini. Pengajaran mata pelajaran moral dan Pendidikan Islam pula menjadi unsur kesepaduan dalam pengajaran, bukannya terletak pada guru agama sahaja.

KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta mata pelajaran Matematik.

Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Rekreasi yang mengandungi mata pelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani.

Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka jelaslah bahawa matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik.

6.2 Kaitan Antara FPK Dengan matlamat Dokumen Kurikulum Standard Sekolah Rendah 2011

Matlamat  KSSR,
Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.
Pertama, kita hendaklah melihat kembali apakah saranan dan harapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terhadap pembangunan insan di negara kita. Falsafah Pendidikan kebangsaan idamkan suatu generasi yang mempunyai intelek, rohani, emosi dan jasmani yang seimbang demi melahirkan insan yang berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri. Hal ini sangat penting supaya rakyat Malaysia khususnya dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara. Semua aspek ini diterapkan ke dalam diri setiap kanak-kanak melalui pendidikan di sekolah yang berorientasi kurikulum pendidikan negara.
Kurikulum atau sukatan yang ada dalam KSSR tetap berteraskan kepada FPK. Sebagai contoh, dalam KSSR, ianya menekankan  objektif untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi supaya dapat memenuhi keperluan diri, memperolehi ilmu, perhubungan sosial dan urusan harian.
Walaupun ada sedikit penambahanan aspek dalam KSSR iaitu sukatan pelajaran  bahasa melayu yang terbaru, namun ianya masih di bawah bumbung FPK dan masih bersandarkan aspek yang ada dalam falsafah Pendidikan kebangsaan. Antara aspek tersebut adalah memperoleh ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea. Kesemua rangkuman tersebut tetap menjunjung aspek yang diterapkan dalam FPK.


Antara kaitan yang lain yang kita boleh lihat adalah apa yang berlaku dalam pelaksanaan dalam P&P dalam bilik darjah yang mengikut sukatan. Dalam pengajaran Bahasa Melayu ada menekankan aspek jasmani.Di samping, rohani yang murid yang sihat, aspek fizikal jasmani murid juga haruslah sihat dan cergas. Guru boleh menggabungjalinkan mata pelajaran pendidkan jasmnai dan kesihatan dalam bahasa melayu dengan menyelitkan elemen-elemen kesihatan. Contohnya pengajaran tentang  etika kesihatan berkaitan penjagaan diri, kebersihan diri, makanan seimbang atau pun mengajar tentang pergerakan yang melibatkan pergerakan fizikal seperti melakukan lompatan, angkat tangan, memegang sesuatu dan pelbagai lagi. Hal ini sangat bertepatan seperti mana disarankan dalam FPK iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani.
Selain itu, pembangunan emosi murid-murid oleh guru juga ada dalam pengajaran dan pembelajaran  seperti yang ada dalam FPK. Dalam pelajaran bahasa Melayu pula, pengajaran bertujuan untuk melahirkan insan yang baik dalam komunikasi demi memenuhi keperluan diri.Oleh itu, dalam pengajaran tersebut, guru boleh melakukan aktiviti berkomunikasi yang melibatkan semua murid di samping membiasakan murid bergaul dan  mengembangkan daya berbahasa mereka dengan bimbingan guru. Contoh aktivitinya adalah bercerita dan permainan menyampaikan maklumat dari kawan kepada kawan yang lain atau dengan kata yang lain aktiviti yang berkaitan dengan aspek bahasa.

Kesimpulannya, dokumen kurikulum standard sekolah rendah adalah masih berlandaskan pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perubahan yang berlaku pada kurikulum baru ini hanyalah untuk memperkasakan lagi usaha-usaha untuk mencapai apa yang telah terkandung dalam FPK.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan