Isnin, 6 Januari 2014

Rancangan Pengajaran Harian


 Konsep  Rancangan Pengajaran Harian
Rancangan pengajaran adalah perancangan yang disediakan secara sistematik oleh seseorang guru mata pelajaran dengan berpandukan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Rancangan ini akan menjadi rujukan guru mata pelajaran berkenaan atau guru lain yang menggantikannya dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Rancangan Kerja biasanya dibuat untuk setahun (Rancangan Kerja Tahunan), mengikut penggal (Rancangan Kerja Penggal) dan minggu (Rancangan Kerja Mingguan), dan dari hari ke hari (Rancangan Kerja Harian / Persediaan Mengajar).    
Rancangan pengajaran pada asasnya merupakan catatan mengenai perancangan yang berkaitan sesi pengajaran. Bagi guru-guru, rancangan pengajaran haruslah disiapkan dengan baik dan tersusun sebelum sesi pengajaran dimulakan. Rancangan pengajaran yang disiapkan dengan sempurna dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan dengan sendirinya menjadikan proses pengajaran berjalan dengan sempurna juga.  Selain itu, rancangan pengajaran yang baik juga dapat mengelak atau mengurangkan berlakunya kesilapan yang boleh mengganggu proses pengajaran.   

Panduan Menyediakan Rancangan Pengajaran Harian
1. Menyediakan Rancangan Mengajar Harian / Persediaan Mengajar

Guru juga perlu merancang dan menyediakan persediaan mengajar sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Sebaik-baiknya persediaan ini dibuat sehari sebelum pengajaran bermula bagi membolehkan guru betul-betul bersedia dengan kaedah, aktiviti dan contoh serta bahan atau sumber yang sesuai bagi memenuhi objektif ditetapkan.

2. Peringkat-Peringkat Persediaan Mengajar / Rancangan Mengajar

Persediaan mengajar melibatkan tiga peringkat iaitu perancangan mengajar, perancangan penyampaian pengajaran dan perancangan penilaian.

3. Perancangan Pengajaran

Perancangan adalah proses pertama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ia meliputi aktiviti-aktiviti penentuan topik dan isi yang hendak disampaikan, kebolehan sedia ada murid-murid serta objektif pengajaran yang hendak dicapai selepas sesuatu aktiviti pengajaran. Perancangan merupakan bahagian yang penting dalam proses pengajarannya, kerana sesuatu perancangan yang baik dan rapi jika dilaksanakan dengan betul akan menghasilkan pencapaian objektif pengajaran yang optimum .
Pada peringkat ini, beberapa perkara perlu dikumpul atau disediakan oleh guru bagi merancang penyampaiannya secara lebih efektif. Perkara-perkara tersebut ialah maklumat mengenai murid, kelas dan mata pelajaran, topik aktiviti, pengetahuan sedia ada dan objektif pengajaran dan pembelajaran.

a. Maklumat Umum
Maklumat umum yang perlu diketahui ialah kelas (tahun/tingkatan), tahap, masa, bilangan dan purata umur murid. Guru perlu tahu kelas yang akan diajar kerana kelas yang berbeza biasanya menunjukkan tahap kebolehan yang berbeza. Masa atau waktu pengajaran pula akan membezakan kesediaan pelajar dan guru perlu merancang aktiviti yang sesuai.
Misalnya waktu pertama dan kedua (pagi) dan waktu terakhir (tengah hari). Murid biasanya lebih cergas dan lebih bersedia menerima pelajaran daripada waktu tengah hari. Tempoh waktu pengajaran sama ada satu waktu atau dua waktu berkembar dan pengetahuan mengenai bilangan dan purata umur pelajar juga akan membantu guru merancang aktiviti yang bersesuaian.

b. Topik Dan Isi
Topik dan isi yang hendak disampaikan dalam proses pengajaran dan kemahirannya haruslah mengikut kurikulum yang dipilih daripada buku teks yang disediakan, kerana isi pengajaran terkandung dalam buku teks yang diakui oleh kementerian pendidikan adalah dirancang mengikut kurikulum tertentu. Walau bagaimanapun,  seseorang guru itu boleh memilih sendiri isi pelajaran daripada sumber-sumber lain sebagai bahan tambahan. Isi pelajaran tambahan ini biasanya disampaikan dalam bentuk aktiviti pengayaan, pemulihan dan pengukuhan.
Guru juga perlu tahu topik serta subtopik yang akan diajar serta aktiviti yang berkaitan dengan topik tersebut supaya guru dapat merancang kesesuaian tempoh masa, strategi pengajaran, sumber atau alat bantuan mengajar yang berkaitan. Ia juga dapat membantu guru dalam menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran.

c. Pengetahuan Sedia Ada
Menentukan kebolehan sedia ada murid dalam pengajaran adalah sangat penting khasnya digunakan untuk merancang strategi pengajaran yang  berkesan. Murid-murid tidak akan boleh belajar dengan berkesan sekiranya mereka tidak diajar menulis perkataan sebelum mereka menguasai kemahiran menulis huruf abjad. Demikian juga bagi murid-murid yang belum menghafal sifir darab dengan betul diajarkan dengan operasi bahagi. Oleh itu, dalam usaha menyediakan isi pengajaran untuk disampaikan dengan berkesan, guru haruslah menentukan kebolehan murid yang sedia ada terlebih dahulu.
Isi pengajaran baru yang hendak disampaikan hendaklah disediakan berdasarkan kebolehan murid yang sedia ada. dengan cara yang demikian, barulah murid dapat belajar mengikut kebolehan mereka .
Pengetahuan sedia ada merujuk kepada pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang sudah ada pada murid sebelum pelajaran baru yang dirancang oleh guru. pengetahuan ini boleh merujuk kepada topik-topik yang sudah disampaikan kepada murid sebelum ini, mungkin melalui mata pelajaran yang berlainan atau tahun yang berlainan, dan juga pengalaman murid sendiri. pengetahuan sedia ada murid akan membantu guru mengaitkannya dengan pelajaran baru (biasanya dalam set induksi), dalam menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran, memilih bahan atau sumber pengajaran dan memilih strategi dan kaedah yang sesuai.

d. Objektif Pengajaran Dan Pembelajaran
Sebelum seseorang guru itu menyampaikan sesuatu pengajaran, dia mestilah mengetahui apa yang ingin dicapainya dalam pelajaran itu. Taraf pencapaian ini dapat ditunjukkan dengan jelas sekiranya keputusan dan kesan pengajaran itu dinyatakan mengikut perlakuan dan prestasi murid selepas pengajaran itu. Justeru itu, sesuatu penyataan objektif itu bukan sahaja membayangkan kehendak pengajaran guru dan pencapaian murid, bahkan menuju ke arah tujuan yang dikehendaki. Dalam konteks KBSR dan KBSM,  penentuan objektif pengajaran biasanya berdasarkan kemahiran yang dihuraikan dalam sukatan pelajaran serta kebolehan murid yang sedia ada. Isi pelajaran yang kemudian dipilih dan dirancang untuk disampaikan akan berdasarkan kepada objektif pengajaran yang telah ditentukan.
Objektif pengajaran ialah suatu keterangan mengenai ’performance’ yang perlu ditunjukkan oleh pelajar sebelum dianggap berupaya (compotent). Ia adalah huraian cadangan hasil daripada pengajaran dan bukannya proses pengajaran (mager 1990). Objektif ini perlu bagi seseorang guru menentukan kandungan dan prosedur pengajaran, menyusun strategi dan aktiviti dan menilai serta mengukur keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Bagi mata pelajaran yang berkaitan dengan kesenian seperti pendidikan seni dan muzik, guru perlu mengambil kira objektif yang berbentuk ekspresif. Objektif juga perlu dipelbagaikan bagi kelas yang muridnya mempunyai pelbagai keupayaan.


4. Penentuan Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran

Penentuan strategi pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada pemilihan strategi yang sesuai dengan tujuan untuk memperolehi hasil pencapaian objektif pengajaran dalam peringkat optimum. Strategi pengajaran dan pembelajaran boleh ditentukan berdasarkan kaedah dan teknik pengajaran seperti kaedah demonstrasi, penyoalan, perbincangan dan lain-lain. 
Di samping itu, kaedah keseluruhan kelas, kaedah kumpulan dan kaedah individu juga harus diambil kira semasa menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Secara am, tujuan menentukan strategi ini adalah untuk membolehkan murid-murid melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran mereka serta menguasai kemahiran dengan berkesan.

5.Penentuan Masa

Penentuan masa dalam sesuatu waktu pelajaran biasanya diagihkan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti set induksi, penyampaian guru, aktiviti guru dan murid, aktiviti pembelajaran murid serta penutup. Oleh kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran masa kini berorientasikan murid, sebahagian besar peruntukan masa dalam setiap waktu pelajaran dalam setiap waktu pelajaran hendaklah diagihkan kepada aktiviti pembelajaran murid sendiri secara am, masa yang diperuntukan bagi guru mengajar hendaklah dikurangkan seboleh-bolehnya tidak melebihi satu pertiga daripada waktu pelajaran.


6. Pemeringkatan Isi

Dalam proses penyampaian, isi pelajaran yang telah dipilih hendaklah disampaikan mengikut urutan yang sesuai. Ini boleh dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip pengajaran berikut iaitu:
1. Daripada mudah kepada kompleks.
2. Daripada dekat kepada jauh.
3. Daripada konkrit kepada abstrak.
4. Daripada pengetahuan sedia ada kepada pengetahuan baru yang hendak dipelajari.
5. Daripada kemahiran sedia ada kepada kemahiran baru yang hendak dipelajari.
Tujuan utama menyusun isi pelajaran mengikut prinsip-prinsip pengajaran adalah untuk memudahkan serta mempertingkatkan kefahaman murid-murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.



7.Pemilihan Sumber

Pemilihan sumber dalam proses penyampaian merujuk kepada penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai. Penggunaan bahan bantu mengajar memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk konsep yang tepat daripada isi pelajaran yang sedang disampaikan dengan menggunakan prinsip pengajaran daripada konkrit kepada abstrak. Perlu diingatkan bahawa sumber pelajaran tidak terhad kepada buku teks, kapur dan papan tulis sahaja.
Sumber pelajar juga boleh termasuklah carta, gambarajah, bahan-bahan konkrit, tv, model, spesimen dan sebagainya. Dengan pemilihan sumber yang sesuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan berkesan .


8. Objektif Pengajaran Dan Domain Pembelajaran

Penulisan objektif pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat berdasarkan kepada tiga domain iaitu domain kognitif, domain afektif dan domain psikomotor.

a. Domain Kognitif
Objektif pengajaran dan pembelajaran domain kognitif menegaskan hasil intelek seperti pengetahuan dan pemahaman sesuatu istilah, fakta, konsep, prinsip, hukum, kaedah, cara dan prosedur serta kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Hasil pembelajaran yang diharapkan boleh dikategorikan kepada lima kategori taksonomi bloom iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis dan penilaian.

b. Domain Afektif
Objektif pengajaran dan pembelajaran domain afektif merupakan objektif yang menegaskan aspek rohani dan emosi seperti sikap, nilai, dan perasaan.

c. Domain Psikomotor
Objektif pengajaran dan pembelajaran domain psikomotor pula menegaskan tingkah laku atau kemahiran pergerakan seperti menulis, melukis, memasak, menjahit, memasang, bermain, berenang dan mengoperasi mesin dan alat.


9. Penerapan Nilai

Nyatakan nilai-nilai murni yang berkaitan (yang hendak diterapkan) dengan isi kandungan yang hendak disampaikan.


10. Konsep Utama

Konsep-konsep utama yang hendak disampaikan yang berkaitan dengan tajuk pelajaran.


11. Pengetahuan Sedia Ada

Pengetahuan atau maklumat yang sudah sedia ada pada murid-murid sebelum pelajaran pada hari itu. Pengetahuan ini boleh merujuk kepada topik-topik yang sudah disampaikan kepada murid sebelum ini, mungkin mata pelajaran yang berlainan dan juga pengalaman murid sendiri.


12. Alat Bantu Mengajar

Alat atau bahan bantu mengajar yang digunakan bagi membantu pengajaran guru selain kapur dan papan hitam/hijau seperti carta, peta, gambar dan gambar rajah.


13. Perancangan Penyampaian Pengajaran

Terdapat tiga komponen utama dalam perancangan penyampaian pengajaran iaitu induksi set, langkah perkembangan dan penutup. Dalam merancang kedua-dua komponen ini, beberapa perkara lain perlu difikirkan dan diambil kira oleh guru seperti kaedah dan teknik pengajaran serta pembelajaran yang sesuai, masa, pemeringkatan isi, pemilihan dan penyediaan sumber, bahan dan alat serta aktiviti yang sesuai. Guru juga perlu bersedia menjaga kualiti pengajarannya.

a. Induksi Set
Induksi set merupakan kaedah atau cara seseorang guru memulakan pengajaran. induksi set yang baik akan dapat menarik perhatian murid kepada pelajaran, bersedia menerima pelajaran baru dan menggalakkan pembelajaran murid. seseorang guru perlu merancang induksi set yang kreatif, menarik dan berkaitan dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan. guru boleh menjalankan induksi set dengan pelbagai cara seperti menggunakan alat atau bahan bantu mengajar, bersoal jawab dan mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada atau isi pelajaran lepas. masa yang digunakan bagi induksi set biasanya adalah antara tiga hingga lima minit.

b. Langkah-langkah Perkembangan      

Selepas menyediakan murid kepada pelajaran melalui set  induksi, guru meneruskan pelajaran dengan menyampaikan isi kandungan sebenar kepada murid. Penyampaian pengajaran yang berkesan akan menggalakkan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan. Guru perlu merancang dengan teliti penyampaian pengajarannya. 


  Rumusan

Rancangan pengajaran merupakan satu dokumen perancangan pengajaran. Dokumen ini mengandungi maklumat lengkap mengenai pelaksanaan sesuatu pengajaran yang akan dilaksanakan oleh guru. Persediaan mengajar yang disediakan dengan baik akan membantu guru dalam melaksanakan pengajaran bagi mencapai objektif yang ditetapkan, menjadi asas penilaian kualiti pengajaran pembelajaran dan merancang tindakan susulan untuk melaksanakan penambahbaikkan pengajaran dan pembelajaran.
Untuk menyediakan sesuatu rancangan kerja yang baik dan berguna, guru haruslah menyedari kepentingan rancangan kerja terhadap pengajarannya. Di samping itu, dia harus boleh mentafsirkan sukatan pelajaran mata pelajaran yang di ajarnya. Selain itu, guru juga di kehendaki menentukan suatu format rancangan kerja yang sesuai untuk digunakan semasa menyediakan rancangan kerjanya .

Guru perlu membuat perancangan bagi proses pengajarannya. Perancangan sebelum proses pengajaran merujuk kepada keputusan yang dibuat mengenai mengelola, melaksana dan menilai pengajaran (Burden & Byrd, 1999). Perancangan yang teliti dan komprehensif akan memberi kesan yang positif kepada pembelajaran pelajar. Perancangan juga akan memastikan setiap minit dalam tempoh pengajaran guru sepanjang tahun memberi kesan yang bermakna kepada guru dan murid. Isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan perlu lengkap dan menepati kehendak sukatan dan huraian sukatan pelajaran yang telah ditentukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan