Isnin, 6 Januari 2014

Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu


Pengenalan
Di dalam mengkaji dan menganalisis pelbagai dimensi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berdasarkan rujukan-rujukan, beberapa istilah khusus banyak diguna pakai bagi tujuan pemahaman kepada unsur-unsur dan proses pelaksnaan pengajaran tersebut. Antaranya ialah istilah pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan aktiviti. Pemahaman terhadap setiap unsur tersebut adalah amat penting bagi memastikan seseorang guru itu mengetahui dan memahami apa yang dilakukannya dan bagaimana untuk mencapai objektif sesuatu pengajaran dan seterusnya mencapai matlamat pendidikan yang dirancang.
Kaedah merupakan satu tindakan atau beberapa jenis tindakan yang bersistem, tersusun dan spesifik untuk mencapai sesuatu objektif jangka masa pendek. Terdapat banyak kaedah yang popular diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk pembelajaran bahasa seperti kaedah natural, kaedah nahu tradisional , kaedah terus dan kaedah ajuk hafaz.

Empat Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu
1. Kaedah Natural

Kaedah ini berasaskan penggunaan bahasa dalam situasi komunikatif seperti yang berlaku dalam pendekatan-pendekatan tradisional. Kaedah ini kurang menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau kepada teori tatabahasa tertentu. Kaedah ini melihat bahasa sebagai satu alat untuk menghubungkan makna dan mesej. Ini bermakna, penguasaan hanya akan berlaku apabila orang memahami mesej dalam bahasa sasaran. Penguasaan bahasa mirip kepada prinsip audiolingualis,  iaitu sebagai penguasaan struktur secara berperingkat-peringkat.
Teori pembelajaran bahasa menurut kaedah ini melibatkan dua cara yang ketara untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa iaitu penguasaan (acquisition) dan pembelajaran (learning).
Pertama ialah penguasaan. Cara yang semula jadi, yang terlaksana sama seperti cara kanak-kanak menguasai bahasa pertama mereka, iaitu merujuk kepada cara-cara yang tidak disedari yang melibatkan perkembangan melalui pemahaman dan melalui penggunaan bahasa untuk komunikasi yang bermakna.
Kedua ialah pembelajaran. Proses yang melibatkan peraturan-peraturan secara sedar tentang bahasa diperkembangkan. Ia berkesudahan dengan pengetahuan yang jelas tentang bentuk bahasa dan keupayaan merealisasikan pengetahuan dalam bentuk lisan. Pengajaran yang formal diperlukan untuk membolehkan pembelajaran berlaku dan pembetulan kesalahan dapat membantu dengan perkembangan peraturan yang telah dipelajari. Aspek-aspek dalam pendekatan natural bermula daripada kelas rendah, penekanan adalah kepada persembahan input pemahaman dalam bahasa sasaran. Guru berfokus kepada barang-barang yang ada di dalam kelas, dan kandungan gambar seperti yang dilakukan dalam kaedah terus.
Untuk mengurangkan rasa tertekan, pelajar tidak diperlukan untuk mengucapkan sesuatu sehingga mereka sudah cukup bersedia untuk berbuat demikian. Guru merupakan sumber utama bagi membolehkan input pemahaman berlaku dalam bahasa sasaran. Masa kelas secara total diperuntukkan kepada aktiviti memberi input untuk penguasaan. Guru diminta menerbitkan arus input bahasa yang konstan (tekal), sambil memberi klue non linguistik untuk membimbing pelajar mentafsir input tersebut.
Bahan-bahan lain yang diperakukan untuk pendekatan natural ialah jadual, brochures, iklan, peta, buku-buku yang sesuai dengan tahap keupayaan pelajar. Permainan secara umumnya adalah berguna sebagai bahan-bahan bilik darjah.
           
Kelebihan kaedah ini yang dapat dilihat ialah ianya dilaksana secara berperingkat-peringkat. Bermula dengan penguasaan pada peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi yang membolehkan seseorang memahami makna ujaran bahasa tersebut. Pembelajaran secara berperingkat yang bermula dari aras rendah hingga ke aras tinggi dan teratur  membolehkan seseorang yang ingin belajar sesebuah bahasa boleh menguasai bahasa tersebut dengan mudah dan lancar.  Tambahan pula, pembelajaran bahasa untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa adalah mengikut keupayaan seseorang. Pelajar tidak digalakkan mengucapkan sesuatu sebelum dia benar-benar bersedia untuk mengungkapkannya. Cara sebegini akan dapat mengurangkan tekanan pelajar  tersebut dan boleh membuatkan hati pelajar itu gembira untuk belajar bahasa.
Namun, kaedah ini turut mempunyai kelemahannya . Kaedah ini kurang menekankan rujukan kepada analisis gramatikal, latih tubi gramatikal atau kepada teori tatabahasa tertentu. Ia lebih kepada penguasaan bahasa melalui komunikasi dengan mengaitkan makna ujaran itu dengan bahasa sasarannya.


2. Kaedah Nahu Tradisional

Kaedah nahu tradisional ini diajar untuk membolehkan pelajar memahami nahu sesuatu bahasa dan juga melatih pelajar menulis menggunakan bahasa yang betul. Kaedah ini juga, membolehkan pelajar menterjemahkan bahasa asing ke bahasa natif dan sebaliknya. Ia juga bagi melengkapkan pelajar dengan perbendaharan kata yang luas yang dapat digunakan dalam penulisan.
Selain itu, ia juga membolehkan pelajar membaca dan menterjemahkan makna buku-buku yang dibaca ke bahasa ibunda dan membolehkan mereka menikmati nilai kesusasteraan yang dibaca. Kaedah nahu tradisional ini bersifat deduktif yang mementingkan bahasa tulisan daripada lisan. Teknik mengajar kaedah nahu tradisional ini ialah dengan memperkenalkan pelajar kepada undang-undang nahu terlebih dahulu.
Kemudian guru memberi penerangan kepada pelajar mengenai undang-undang ini dan kemudiannya memberi misalan. Undang-undang nahu ini perlu dihafal. Pelajar- pelajar diberi senarai perbendaharaan kata yang perlu dihafal. Dalam pembelajaran bahasa kedua, senarai perbendaharaan ini dipasangkan dengan makna dalam bahasa kedua. Pelajar-pelajar kemudiannya disuruh membuat ayat-ayat dengan menggunakan senarai perbendaharaan kata itu berdasarkan undang-undang yang dipelajari.

            Kelebihan kaedah ini ialah  seseorang yang ingin belajar sesebuah bahasa yang baharu baginya akan mudah menguasai bahasa tersebut dalam aspek perbendaharaan kata dan tulisan. Ini kerana kaedah ini mementingkan pemahaman terhadap nahu sesuatu bahasa dan juga melatih seseorang terutamanya pelajar  menulis menggunakan bahasa yang betul. Di samping itu, kaedah ini akan membolehkan seseorang menambahkan perbendaharaan kata bahasa yang ingin dipelajarinya.
            Kelemahan kaedah ini ialah, kaaedah ini lebih mengutamakan aspek kemahiran menulis dan kurang memberi perhatian kepada aspek lisan. Ini boleh menyebabkan seseorang kurang menguasai bahasa tersebut secara verbal. Ini kerana, pembelajaran sesuatu bahasa itu bukan setakat pada aspek penulisan dan penguasaan kosa katanya tetapi ia juga melibatkan pertuturan dan pendengaran.


3. Kaedah Terus

Kaedah ini mula diperkenalkan oleh Michell West dan Harald Palmer antara tahun 1920 hingga 1935. Kaedah ini dikatakan sama dengan kaedah askar kerana pernah digunakan unruk melatih pegawai tentera dan diplomat dalam Perang Dunia Kedua. Kaedah terus mengutamakan prinsip-prinsip mengajar yang berdasarkan psikologi kanak-kanak.
Kaedah ini amat sesuai untuk pengajaran bahasa kedua dan segala pengajaran tidak sekali-kali menggunakan bahasa yang telah diketahui oleh murid-murid.  Kaedah ini bertujuan membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa itu secara berkesan dan membolehkan mereka menggunakan bahasa yang dipelajari itu dalam masyarakat berkenaan.
 Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat asas iaitu perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. Seterusnya, pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman- pengalaman yang telah sedia ada. Kemudian harus menimbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan dan pengajaran haruslah berpandu kepada lunas-lunas  kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka.
            Melalui kaedah ini, pembelajaran sesuatu bahasa akan bertambah mudah kerana ia mengikut prinsip psikologi kanak-kanak. Penguasaan bahasa melalui cara psikologi kanak-kanak adalah lebih mudah dan berkesan. Ini kerana, penguasaan bahasa melalui kaedah ini melibatkan aspek perhubungan antara satu perkataan dengan benda, ayat dengan fikiran dan sebaliknya.  Selain itu, pengalaman-pengalaman  turut boleh dikaitkan dengan pengajaran. Di samping itu, kaedah ini juga turut menimbulkan sifat ingin tahu melalui teknik (sokratik)penyoalan. Ini akan memudahkan lagi pembelajaran sesuatu bahasa kerana minat dalam diri telah dipupuk.


4. Kaedah Ajuk Hafaz

Kaedah ini adalah kaedah pengajaran dilakukan secara demonstrasi dan latih tubi. Pengajaran demonstrasi harus berkaitan dengan tatabahasa, pertuturan, perbendaharaan kata melalui guru bahasa atau penutur jati. Tatabahasa diajar secara menghafaz beberapa ayat asas melalui ajukan dan  maknanya diberi dalam ungkapan biasa dalam bahasa ibunda. Murid tidak dikehendaki menterjemah perkataan demi perkataan.
 Apabila semua ayat sudah dipelajari secara terperinci, murid akan membaca deskripsi bahasa sasaran itu dalam bahasa ibunda pula. Contohnya diberi dalam bahasa sasaran dengan persamaannya dengan bahasa ibunda. Kemudian, dia terus mendengar lagi ayat-ayat daripada pertuturan yang menyambungkan ayat-ayat asas tadi bagi latihan mendengar. 
Akhirnya, dia berlatih dalam dialog dengan menggunakan ayat dasar dan gabungan bahagian-bahagiannya. Guru harus menyediakan aktiviti yang bersesuaian seperti latihan dalam pertuturan, karangan-karangan lisan, latihan cara menyebut sesuatu perkataan, menyebutkan dengan betul tiap-tiap bunyi dalam bahasa sasaran dan tahu pula menggunakannya dalam bentuk-bentuk .
Melalui latih tubi, pelajar akan mudah memahami sesuatu pengajaran kerana ia melibatkan pengulangan.  Kelebihan lain yang dapat dilihat melalui kaedah ini ialah pengajaran demonstrasi atau mengajuk. Melalui kaedah mengajuk, pembelajaran akan bertambah menarik kerana ia melibatkan pertuturan pelajar. Penguasaan verbal pelajar terhadap bahasa semakin lama semakin mantap kerana adanya aktiviti latih tubi yang melibatkan pengulangan dan pengajukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan