Isnin, 6 Januari 2014

Teori Pemerolehan Bahasa


Pengenalan
Pemerolehan bahasa sering dikaitkan dengan cara-cara bahasa dikuasai oleh seseorang kanak-kanak. Asas kenyataan ini adalah berteraskan hipotesis yang ditemukan oleh ahli psikologi dan ahli bahasa yang tersohor dalam abad yang lalu. Sama ada bahasa pertama atau pun bahasa kedua, pemerolehan bahasa terjadi setelah melalui beberapa proses yang sistematik.
Teori  pemerolehan bahasa merujuk kepada kaedah atau cara yang digunakan oleh seorang manusia untuk memperoleh ilmu berkaitan bahasa agar dapat berkomunikasi dengan baik. Teori pemerolehan bahasa turut terbahagi kepada empat iaitu teori behaviorisme yang menyatakan pembelajaran bahasa melalui proses pengulangan yang melibatkan rangsangan dan gerak balas. Kedua ialah Teori  Mentalis yang berkaitan dengan kognitif, iaitu kajian tentang fikiran dan peranan mental dalam pemerolehan bahasa. Ketiga, Teori Konstruktivisme yang mengkaji pada struktur bahasa dan memberi perhatian yang serius terhadap fungsi bahasa. Seterusnya ialah Teori Interaksional yang memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik.
            Huraian terpeinci berkaitan teori-teori pemerolehan bahasa akan djelaskan dengan lebih lanjut bermula dengan teori behaviorisme di sebelah. 


Empat Teori Pemerolehan Bahasa
1. Teori Behaviorisme

            Tokoh pelopor bagi teori behaviorisme ialah Bloomfield, Edward Sapir, Fries, Boas dan Brooks. Ahli psikologi yang turut berpegang pada teori ini termasuklah B.F Skinner, Pavlov, Hull dan Thorndike.
Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan bahasa dan dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola.
 Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran. Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistik  Aliran Behaviorisme. Golongan ini beranggapan bahawa bahasa pertama yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua yang penting.
Ahli-ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahului dengan bahasa lisan.  Kemudian diikuti dengan bahasa tulisan yang dianggap perkara kedua penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur  dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis. Ini hanya dapat dilakukan setelah murid-murid dapat menguasai sistem bahasa  dan struktur bahasa.
Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Bagi membentuk biasaan ini  latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah.
Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas,  galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan cara memberikan pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.
Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan ulangan sesuatu gerak balas dengan sesuatu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut menjadi bosan. Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu : Latihan yang dikukuhkan ---> pembelajaran ---> perubahan tingkah laku.
 Kelima, model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajar-pelajar. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang sama atau mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan pelajar-pelajar itu.
Dan keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsurini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan. Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua adalah dengan cara mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara mempelbagaikan pola interaksi guru dan murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat bantu mengajar.

Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan.


2.   Teori Mentalis

Teori ini menekankan fungsi mental seseorang manusia itu. Menurut Chomsky, kanak-kanak akan mengalami beberapa peringkat perkembangan dalam pemikiran iaitu bermula dari peringkat terendah deria motor, kemudian kepada pra-operasi, operasi konkrit dan operasi formal. Sebagai contoh, dalam pembelajaran bahasa, kanak-kanak akan menguasai kemahiran memahami terlebih dahulu sebelum mereka belajar bertutur.

Teori ini juga menekankan kepada proses perkembangan pemikiran kanak-kanak. Oleh itu pembelajaran bahasa akan diajar secara berperingkat-peringkat mengikut kematangan murid berkenaan. Dengan itu proses pembelajaran berlaku secara sistematik dan guru dapat mengawal kadar kemajuan pembelajaran murid secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, teori ini menekankan kepada pembelajaran mengikut kadar kendiri, di mana murid berpeluang belajar sesuatu pengetahuan atau kemahiran berdasarkan minat, kebolehan dan tahap kognitif mereka sendiri.

Namun, teori ini mempunyai kelemahannya iaitu ia mementingkan kemahiran tulisan, yang kemudiannya diikuti dengan kemahiran bacaan manakala kemahiran lisan pula kurang diberikan perhatian. Ini akan menyebabkan sesetengah murid hanya mahir menggunakan bahasa dalam tulisan dan bacaan, tetapi lemah dalam lisan (mendengar dan bertutur).

Walaubagaimanapun, teori ini  boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru yang mengaplikasikan teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran akan melakukan perancangan dengan membuat pemeringkatan kemahiran. Ini bermakna, murid akan memperoleh sesuatu kemahiran itu secara berperingkat-peringkat sesuai dengan kemahiran dan penguasaan mereka.

Kemahiran membaca akan dimulakan dengan kemahiran paling asas iaitu mengenal suku kata, dan seterusnya kemahiran itu dipertingkatkan kesukarannya sehinggalah murid berkenaan dapat membaca sebuah ayat yang lengkap. Sebagai contoh, dalam pelaksanaan pengajaran ini, guru menetapkan 10 kriteria yang perlu dikuasai oleh murid sebagai bukti mereka telah menguasai kemahiran membaca yang telah ditetapkan. Pada pembelajaran pertama, guru mungkin menetapkan dua kriteria yang perlu dicapai, kemudian dua lagi pada pembelajaran akan datang dan begitulah seterusnya sehingga semua murid berjaya mencapai kriteria tersebut.

.
3.  Teori Kognitif

Teori ini berlandaskan pandangan Jean Piaget iaitu seorang ahli psikologi berbangsa Swiss. Menurut Piaget (1963) perkembangan mental kanak- kanak boleh dibahagiakan kepada empat peringkat (Abd.Aziz Abd. Talib, 2000).
 Peringkat pertama melibatkan tahap motor- sensori iaitu bermula umur 0 hinggalah dua tahun. Walaupun perkembangan kognitif sudah bermula sedikit namun kanak-kanak masih belum boleh berfikir secara rasional dan logik. Perlakuan kanak-kanak pada tahap ini lebih kepada bercorak motor ( fizikal). Apabila memasuki peringkat kedua iaitu tahap pemikiran pra-operasi dari umur dua hinggalah tujuh tahun. Perkembangan bahasa bermula seawal umur dua tahun. Semasa berumur dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun perkembangan bahasa mereka menjadi lebih pesat seiring dengan perkembangan sosial yang semakin meluas.


Peringkat ketiga iaitu tahap operasi konkrit dari umur tujuh hinggalah sebelas tahun. Kanak-kanak mula berfikir secara logik tetapi mereka hanya mampu berfikir secara konkrit dan menyelesaikan sesuatu masalah yang dilihat secara fizikal. Peringkat terakhir melibatkan tahap operasi formal dari umur sebelas hinggalah 15 tahun. Pada tahap ini kanak-kanak mula matang dan mampu berfikir secara logik untuk menyelesaikan masalah termasuklah masalah secara abstrak.


4.   Teori  Interaksionalisme

Teori ini memandang pembelajaran bahasa adalah sebagai alat interaksi dan ia merupakan satu proses yang melibatkan mental dan linguistik. Teori ini menekankan pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang- undang bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu. Teori ini juga menyarankan supaya guru-guru memberi banyak latihan kepada pelajar-pelajar.
Prinsip-prinsip yang dicetuskan daripada pandangan-pandangan ahli-ahli bahasa Interaksionalisme adalah seperti berikut: Pertama, penyampaian makna adalah lebih diutamakan dalam komunikasi bahasa. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sama ada pembelajaran bahasa pertama dan kedua, penyampaian makna adalah penting. Pembelajaran bahasa bukan hanya mempelajari struktur itu tetapi apa yang lebih penting ialah belajar untuk interaksi.
Kedua, pembelajaran bahasa merupakan proses mental dan linguistik. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, bahasa yang dituturkan dan makna yang dimaksudkan adalah berhubung rapat. Interaksionalis mementingkan kedua-dua unsur iaitu makna dan struktur bahasa.

Dan ketiga, pengajaran dan pembelajaran bahasa memerlukan penumpuan terhadap tugas-tugas atau aktiviti-aktiviti yang bermakna. Jika guru itu dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang bermakna maka murid-murid berkemampuan untuk menggunakan bahasa itu dengan lancar dan fasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan