Isnin, 6 Januari 2014

Teori Huraian Bahasa


 Pengenalan

Teori huraian bahasa merupakan teori dalam deskriptif yang memperkatakan ciri dan fakta tentang struktur bahasa sejagat  yang ada dalam semua bahasa manusia di dunia ini. Teori huraian bahasa cuba menghuraikan sifat umum yang terkandung dalam semua bahasa asli manusia dengan melihat sifat dan ciri yang merentasi semua bahasa.
            Justeru, dalam kajian tentang sesuatu bahasa, pengkaji meneliti butiran terperinci dalam setiap bahasa untuk mengetahui jarak perbezaaan antara bahasa itu, sedangkan dalam kajian ciri umum pengkaji ingin mengetahui had perbezaan itu. Kedua-dua pendekatan ini saling bergantung antara satu sama lain. Huraian terperinci sesuatu bahasa akan membekalkan pengkaji butir yang boleh diabstrakkan untuk memperoleh pengitlakan tentang sesuatu bahasa tersebut.
Teori huraian bahasa terbahagi kepada empat aliran pemikiran iaitu Teori Tradisional yang dipelopori oleh Panini. Teori ini berkaitan dengan kajian bahasa yang dibuat terhadap bentuk-bentuk tulisan.
Kedua, Teori Struktural yang diperkenalkan oleh Bloomfield. Teori  bahasa ini merangkumi kajian tentang fonem dan morfem serta kaitan antara fonem, morfem dan ayat. Ketiga,  Teori Tranformasi Generatif yang dipelopori oleh Noam Chomsky yang menyatakan bahasa adalah sistem tentang rumus-rumus bahasa. Keempat, Teori Fungsional (Halliday) yang  merangkumi kajian tentang perubahan yang berlaku pada struktur bahasa ketika seseorang berkomunikasi.



Empat Aliran Teori Huraian Bahasa

1.  Nahu Tradisional

            Teori nahu tradisional ini dipelopori oleh Panini yang berasal dari India. Menurut teori ini,  bahasa ialah ucapan buah fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Ia juga sangat mementingkan bahasa tulisan. Penutur juga adalah diwajibkan mematuhi peraturan dan sebarang kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan. Pengajaran pula banyak tertumpu kepada nahu terjemahan.
            Aliran nahu tradisional ini telah melahirkan tatabahasa tradisional. Tatabahasa tradisional berusaha menghuraikan sesuatu bahasa, menganalisis dan menjelaskan konstituen ayat yang dibentuk dengan baik. Aspek kajian tertumpu pada struktur permukaan dan bukan makna ayat. Faedah tatabahasa ini ialah tatabahasa memberikan pemahaman asas kepada mereka yang belajar tentang binaan bahasa serta dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran menulis.
            Tatabahasa tradisional bukan merupakan gabungan beberapa teori yang berusaha untuk menjelaskan struktur  kesemua bahasa di dunia ini menggunakan satu set konsep yang unik. Tatabahasa ini berpecah kepada traidisi yang berbeza-beza bagi  bahasa yang berbeza.
Dengan kata lain, setiap bahasa mempunyai perbendaharaan kata tradisional mereka dan cara analisis  yang tersendiri.  Sebagai contoh, setiap bahasa Eropah mewakili dan menyesuaikan tatabahasa Latin ke dalam bahasa yang tertentu.



2.Struktural

Teori ini muncul sebagai tentangan terhadap dasar nasional dan kaedah huraian bahasa yang dilakukan oleh aliran tradisional. Teori ini mula diperkenalkan pada pertengahan abad ke-20.  Teori ini juga dikenali sebagai tatabahasa struktural. Teori ini diperkenalkan oleh Leonard Bloomfield(1897-1949) dan hasil kerja oleh Edward Sapir(1881-1939).
Tokoh-tokoh yang mempelopori teori huraian bahasa struktural ini ialah Bloomfield, Edward Sapir dan Leonard de Saussure. Menurut teori ini, bahasa adalah bersifat sistematik dan mempunyai tatabahasa tersendiri serta hidup dan sentiasa berubah-ubah. Bahasa juga dikatakan mempunyai satu sistem dan mempunyai peraturan.
Selain itu,  bahasa bersifat arbitrari dan digunakan untuk perhubungan antara satu dengan yang lain. Linguistik aliran struktural melahirkan tatabahasa struktural yang berusaha untuk menjelaskan tatabahasa sesuatu bahasa berdasarkan analisis struktur ayat. Aliran stuktural mementingkan analisis struktur permukaan. Tatabahasa struktural merupakan pendekatan kajian bahasa yang berfokus kepada binaan ayat.
 Teori ini menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Huraian bahasa juga dilakukan secara induktif  iaitu dimulai dengan contoh kemudian diikuti pula dengan generalisasi dan tidak menentingkan makna serta analisis dibuat secara luaran sahaja.



3. Transformasi Generatif

Teori huraian bahasa Transformasi Generatif ini dipelopori oleh Noam Chomsky. Ianya bermula pada tahun 1957 dengan terbitnya buku Syntactic Structures. Dalam menghuraikan bahasa pada peringkat pertama, aliran ini menggunakan Model Teori Struktur Sintaksis yang melibatkan rumus struktur frasa, transformasi dan fonologi. Pada peringkat kedua, timbul pula Extended Standard Theory yang menekankan komponen sintaksis, semantik dan fonologi.
Menurut teori ini,  manusia sebenarnya dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Kecekapan ini pula dikatakan mengandungi satu set rumus yang eksplisit. Penutur natif dikatakan berkebolehan membentuk dan memahami peraturan yang baru dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan daripada kebolehan ini seterusnya akan membentuk rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap.
Penguasaan bahasa juga adalah berdasarkan penguasaan bahasa pertama terlebih dahulu. Ayat pula mempunyai struktur dalaman dan luaran. Menurut teori ini juga,  bahasa dikatakan bersifat sejagat dan kreatif.  Binaan ayat mempunyai hubungan erat dan menggunakan simbol-simbol tertentu untuk menganalisis setiap nahu.
Ahli tatabahasa generatif percaya manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan linguistik apabila bertutur dalam dunia sebenar. Mereka mendakwa kesalahan dalam keupayaan linguistik tidak berkaitan dengan kajian kecekapan linguistik.



  
4.   Teori Fungsional

Teori Fungsional ini dipelopori oleh Haliday dan Wilkins. Teori ini mengkaji tentang perubahan yang berlaku pada struktur bahasa ketika seseorang sedang berkomunikasi. Teori ini juga menganggap bahawa bahasa adalah sebagai alat perhubungan antara masyarakat dan sangat mementingkan aspek semantik iaitu makna kata.                                                                  
Pengukuhan bahasa boleh berlaku secara verbal dan non-verbal. Penggunaan bahasa juga dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur tersebut. Teori ini turut memberi perhatian kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan yang berlaku pada bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.


2.3           Rumusan

Setelah melihat kepada keempat-empat teori huraian bahasa tersebut, dapatlah kita simpulkan bahawa bahasa  merupakan satu alat perhubungan yang sistematik. Maknanya, bahasa mempunyai peraturan-peraturan nahunya yang tersendiri.  Keempat-empat teori memandang bahasa dengan kaedah mereka  masing-masing. Aliran tradisional mementingkan bahasa tulisan. Aliran struktural pula menumpukan  fonologi, morfologi dan sintaksis dan huraian bahasa dilakukan sebagai induktif.  Aliran transformasi generatif pula memberi tumpuan pada pembentukan rumus-rumus bahasa secara transformasi  yang lengkap manakala aliran fungsional pula  melihat bahasa sebagai media perhubungan dan mementingkan aspek semantik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan